Jumaat, 15 March 2024 | 9:52am
Razali (kanan) bersama Dr Rusdi (tiga kanan) selepas Majlis Pelancaran Walkabout Kempen Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Mahkota Square Kuantan, semalam. - Foto BH/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Razali (kanan) bersama Dr Rusdi (tiga kanan) selepas Majlis Pelancaran Walkabout Kempen Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Mahkota Square Kuantan, semalam. - Foto BH/LUQMAN HAKIM ZUBIR

24 sampel makanan berisiko bazar Ramadan Kuantan dianalisis

KUANTAN: Sebanyak 24 sampel makanan yang berisiko seperti juadah bersantan diambil di bazar Ramadan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang sepanjang dua hari bermula 1 Ramadan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Razali Kassim, berkata sampel makanan itu dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Pahang bagi analisis mikrobiologi.

Katanya, jabatan itu biasanya mengambil sampel makanan secara rawak, iaitu melihat kepada makanan berisiko atau makanan yang mudah rosak seperti makanan yang mengandungi santan, makanan seperti kerabu serta air dan kuih berkelapa.

"Keputusan 24 sampel makanan itu dijangka diketahui dalam tempoh dua minggu.

"Pensampelan makanan dan pemeriksaan premis makanan akan diteruskan pada minggu-minggu berikutnya sepanjang Ramadan," katanya selepas Majlis Pelancaran Walkabout Kempen Keselamatan Makanan Bazar Ramadan di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman.

Razali berkata, kebersihan bukan sahaja daripada segi penyediaan makanan dan minuman, malah premis dan gerai bazar Ramadan juga perlu bersih.

Berita Harian X