Rabu, 13 March 2024 | 10:35am

Air balang pelbagai negara jadi tarikan niaga di Bazar Ramadan

BESUT: Idea kreatif seorang peniaga menggunakan nama pelbagai negara dan tempat untuk setiap jenis air balang yang dijualnya, mencuri tumpuan pengunjung bazar Ramadan Kota Putera dekat Kampung Raja di sini.

Kebanyakan pengunjung mengambil peluang untuk membeli beberapa jenis air yang dijual kerana tertarik dengan pelbagai nama negara itu serta deretan balang air berwarna-warni.

Peniaga, Mohd Saufi Mat Ghani, berkata idea menamakan balang air dengan beberapa nama negara asing datang daripada anak sulungnya, Azzam Nur Hakim, 23.

"Jika diikutkan dia juga sepatutnya turut berniaga sama, namun ketika saat akhir mahu mengambil tapak bazar Ramadan dia mendapat tawaran melanjutkan pelajaran dalam bidang pembantu perubatan di Alor Setar, Kedah," katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Kota Putera, Kampung Raja di sini, semalam.

Saufi berkata, antara nama negara yang digunakan pada balang air berkenaan antaranya teh hijau dan teh beng Thailand, Katira Singapura dan kopi beng Afrika.

"Kami juga turut menggunakan beberapa nama lokasi lain antaranya mangga Bangkok, barli madu Borneo, laicikang Utara, asam boi Pantai Timur, strawberi Cameron Highlands, soda herb Himalaya.

"Tahun ini kami menjual 40 jenis air pelbagai perisa dengan mengambil dua tapak bazar berbanding satu tapak sahaja tahun lalu selepas mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

"Saya juga dibantu dengan tujuh orang pekerja sambilan serta dua orang anak untuk menguruskan aktiviti perniagaan yang bermula jam 4 petang sehingga 7 malam," katanya.

Dia berkata, persediaan untuk memulakan perniagaan bermula kira-kira jam 2 petang termasuk proses membancuh air.

"Tahun ini juga saya menggunakan kira-kira 400 beg pek ais berbanding hanya 200 pek sahaja tahun lalu.

"Cabaran utama berniaga air tahun ini adalah kesukaran untuk mendapatkan bekalan gula kerana pembelian dalam kuantiti banyak dihadkan serta terpaksa membeli dalam kuantiti kecil secara berperingkat," katanya.

Katanya, dia berpengalaman berniaga di pasar malam serta bazar Ramadan lebih 20 tahun bersama keluarga.

"Biasanya jika di pasar malam, saya menjual 20 jenis air balang serta laksa tetapi untuk bazar Ramadan hanya air balang sahaja.

"Setiap air dengan kuantiti satu jag air dijual dengan harga RM5 untuk satu gelas besar atau plastik dan harga itu kekal sejak tahun lalu.

"Antara air yang sering mendapat permintaan tinggi teh, teh hijau, air durian belanda, keladi, serta mangga," katanya.

Peniaga air balang, Mohd Saufi Mat Ghani (dua, kanan) melayan pelanggan di gerainya di Bazar Ramadan Kota Putera, Kampung Raja, Besut
Peniaga air balang, Mohd Saufi Mat Ghani (dua, kanan) melayan pelanggan di gerainya di Bazar Ramadan Kota Putera, Kampung Raja, Besut
Berita Harian X