Isnin, 11 March 2024 | 5:36pm
Steven (dua kanan) menyumbang RM100,000 kepada PIBG SK Stowell bagi menyokong dan membantu pihak sekolah mencari dana untuk penggantian 18 unit skrin sentuh dan papan tulis interaktif yang rosak.
Steven (dua kanan) menyumbang RM100,000 kepada PIBG SK Stowell bagi menyokong dan membantu pihak sekolah mencari dana untuk penggantian 18 unit skrin sentuh dan papan tulis interaktif yang rosak.

SK Stowell terima dana lebih RM350,000 untuk penggantian 18 unit papan digital

BUKIT MERTAJAM: Sekolah Kebangsaan (SK) Stowell, di sini menerima dana lebih RM350,000 pada majlis makan malam sempena meraikan ulang tahun ke-65 sekolah itu.

Ia adalah sumbangan daripada Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan beberapa badan korporat serta bantuan daripada Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.

Steven yang juga Menteri Sumber Manusia dijemput merasmikan majlis itu berkata, beliau menyumbang RM100,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi menyokong dan membantu pihak sekolah mencari dana untuk penggantian 18 unit skrin sentuh dan papan tulis interaktif (smartboard) yang telah rosak.

"Mengikut kajian pasaran, kos pemasangan serta perolehan Smartboard ini bernilai lebih RM20,000 seunit dan ia akan dipasang di 18 kelas secara keseluruhannya.

"Saya berharap sumbangan ini mampu memberi berita gembira kepada pihak sekolah selain dapat membantu pelajar mendapat ilmu yang bermakna dalam era digitalisasi ini," katanya dalam kenyataan yang dikongsikan PIBG sekolah itu, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Steven yang juga bekas pelajar sekolah terbabit turut berjaya membantu pihak sekolah melalui PIBG mengutip lebih RM250,000 hasil sumbangan daripada pelbagai pihak.

Ia menjadikan pihak sekolah menerima sumbangan dana lebih RM350,000 pada majlis yang diadakan Sabtu lalu.

Steven berkata, beliau berterima kasih kerana kesudian pelbagai pihak dan ibu bapa yang sanggup

membantunya dalam menjayakan kutipan dana bagi kegunaan sekolah demi pendidikan murid dekat situ.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG sekolah terbabit, Ahmad Anas Ismail berkata, beliau menghargai jasa Steven Sim yang begitu komited membantu PIBG menjayakan kutipan dana pada majlis ulangtahun itu.

"Usaha gigih ini amatlah dihargai kerana beliau bertungkus lumus menjayakan kutipan dana yang sangat bermakna," katanya.

Terdahulu, majlis makan malam itu dihadiri lebih 200 individu termasuk abang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Idrus Ibrahim selaku bekas Guru Besar sekolah terbabit.

Berita Harian X