Khamis, 22 Februari 2024 | 12:04pm
 Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin (tiga kiri) dan Pengarah Pendidikan Johor, Mohd Hanafi Samad (empat kiri) ketika melawat di SK Perigi Acheh, Pasir Gudang, Johor hari ini. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin (tiga kiri) dan Pengarah Pendidikan Johor, Mohd Hanafi Samad (empat kiri) ketika melawat di SK Perigi Acheh, Pasir Gudang, Johor hari ini. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan.

Sekolah sementara RM6j ganti sekolah reput SK Perigi Acheh

PASIR GUDANG: Sekolah Kebangsaan (SK) Perigi Acheh di sini, yang ditutup sejak Julai 2021 berikutan masalah reput akibat dimakan anai-anai akan mendapat sekolah sementara bernilai RM6 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata sekolah sementara di Kampung Perigi Acheh itu bakal dibina berhampiran sekolah asal berkenaan.

Katanya, projek berkenaan dijadual bermula pada Jun ini dan dijangka siap awal tahun depan.

Sejak 30 Julai 2021 murid-murid di Kampung Perigi Acheh terpaksa menumpang belajar di SK Tanjung Langsat, kira-kira lima kilometer dari sekolah asal.

"Pembinaan sekolah sementara itu diputuskan selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesahkan struktur bangunan lama dan tanah di SK Perigi Acheh tidak lagi selamat sebelum ditutup pada 30 Julai 2021.

"Perancangan asal, JKR mencadangkan menggunakan kontena sebagai platform untuk bangunan sementara.

"Namun disebabkan terdapat kesulitan pengangkutan barang logistik, mereka membuat keputusan agar pembinaan bangunan sementara ini menggunakan 'skeleton frame' dan 'cement board'.

"Bangunan sekolah sementara ini boleh bertahan dan digunakan antara tujuh sehingga sembilan tahun," katanya selepas melawat di SK Perigi Acheh di sini, semalam. Turut hadir Pengarah Pendidikan negeri, Mohd Hanafi Samad.

Pada April tahun lalu, sekumpulan ibu bapa murid SK Perigi Acheh mendesak pihak berkuasa supaya segera menaik taraf atau membina sekolah baharu selepas dua tahun ia dikosongkan.

SK Perigi Acheh yang beroperasi sejak 1999 adalah satu-satunya sekolah di kampung itu. Penduduk perlu membelanjakan antara RM50 hingga RM60 sebulan untuk tambang bas seorang murid ke SK Tanjung Langsat.

Mengulas lanjut, Aznan berkata, pada masa sama Jabatan Pendidikan negeri sedang memohon dengan Kementerian Pendidikan bagi pembinaan sekolah baharu di tapak asal SK Perigi Acheh.

Katanya, semua bangunan dan struktur asal sekolah itu akan dirobohkan manakala struktur tanahnya dinaikkan sebelum pembinaan sekolah baharu dengan enam kelas dilengkapi pelbagai kemudahan.

"Kerajaan negeri juga akan memastikan permohonan pembinaan bangunan baharu untuk jangka masa panjang itu akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

"Ketika ini seramai 95 murid dan 12 guru SK Perigi Acheh masih ditempatkan di SK Tanjung Langsat iaitu kira-kira lima kilometer dari kampung berkenaan.

"Kerajaan negeri juga bersetuju memperuntukkan RM50,000 bagi menyediakan bas sekolah untuk murid SK Perigi Acheh ke SK Tanjung Langsat untuk sesi persekolahan tahun ini yang bermula Mac ini," katanya.

Berita Harian X