Sabtu, 17 Februari 2024 | 12:04am
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing. Foto fail NSTP
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing. Foto fail NSTP

MOTAC umum peruntukan RM200,000 kepada Parlimen Sandakan, Batu Sapi

SANDAKAN: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) malam ini mengumumkan peruntukan RM200,000 kepada Parlimen Sandakan dan Batu Sapi.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata peruntukan itu adalah bagi mengembangkan industri pelancongan di kedua-dua kawasan, sekali gus memperbaiki ekonomi penduduknya.

"Kalau lebih ramai pelancong mari, industri kita semua boleh maju terutama makanan, restoran, hotel dan logistik," katanya kepada pemberita pada Majlis Pesta Tahun Baharu Cina di sini.

Beliau berkata, beberapa penerbangan sewa khas dan tambahan dari luar negara semakin meningkat ke Semenanjung dan perkara sama juga diharapkan di Sabah.

King Sing berkata, pihaknya juga sentiasa berusaha mempromosikan destinasi pelancongan di negeri itu dan meminta penduduk di kawasan tepi laut atau pulau supaya mengamalkan kebersihan di perairan negara dan tidak sewenang-wenangnya membuang sampah ke laut.

"Saya berharap penduduk berkenaan tidak memikirkan saya menghina atau pandang rendah pada mereka tetapi saya minta kerjasama daripada mereka untuk perkembangan ekonomi kita," katanya.– BERNAMA

Berita Harian X