Jumaat, 16 Februari 2024 | 7:12pm
Anggota APM memantau paras air di Kampung Segong, Bau. NSTP/Ihsan JPBN Sarawak
Anggota APM memantau paras air di Kampung Segong, Bau. NSTP/Ihsan JPBN Sarawak

Mangsa banjir di Sarawak meningkat

KUCHING: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak, meningkat petang ini.

Sehingga jam 6 petang, seramai 191 mangsa daripada 54 keluarga berlindung di tiga PPS di Batu Kawa dan Bau.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, PPS Dewan Masyarakat Stapok di Batu Kawa, mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 135 mangsa daripada 37 keluarga.

PPS Dewan R Piang, Kampung Sinar Budi Baru, Batu Kawa pula menempatkan 34 mangsa daripada 10 keluarga.

PPS Dewan Kampung Segong, Bau pula kekal dengan enam mangsa daripada dua keluarga.

Menurut kenyataan itu, semua PPS itu dibuka hari ini susulan beberapa kawasan di Sarawak dilanda banjir yang berlaku akibat hujan lebat berterusan sejak jam 3 pagi.

PPS Dewan R Piang yang menempatkan mangsa banjir di Kampung Sinar Budi Baru dibuka pada jam 11.15 pagi.

PPS Dewan Kampung Segong yang menempatkan mangsa banjir di Kampung Segong pula dibuka pada jam 11.30 pagi manakala PPS Dewan Masyarakat Stapok yang menempatkan mangsa banjir di Taman Desa Wira, Lorong 5i dibuka pada jam 12.45 tengah hari.

Sementara itu, di Bintulu, PPS Balai Raya Kampung Assyakirin yang dibuka sejak 18 Januari lalu, masih aktif hingga kini.

PPS berkenaan menempatkan 16 penduduk daripada lima keluarga yang kediaman mereka di Iris Garden dan Pine Court rosak teruk akibat ribut.

Berita Harian X