Isnin, 12 Februari 2024 | 11:41am
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor (kiri) menerima sumbangan bersama Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment), Mohd Norlisam Mohd Nordin (tengah) melihat barangan sumbangan pada Majlis sumbangan SWM Environment kepada Kerajaan Johor di Lobi Bangunan Dato Abdul Rahman Andak, Kota Iskandar, Johor. NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor (kiri) menerima sumbangan bersama Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment), Mohd Norlisam Mohd Nordin (tengah) melihat barangan sumbangan pada Majlis sumbangan SWM Environment kepada Kerajaan Johor di Lobi Bangunan Dato Abdul Rahman Andak, Kota Iskandar, Johor. NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Batal, senarai hitam lesen perniagaan disewa kepada warga asing

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini membatalkan dan menyenaraihitamkan lesen perniagaan yang disewakan kepada warga asing.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata arahan sudah dikeluarkan kepada semua PBT untuk bertindak termasuk mewujudkan Jawatankuasa Khas bagi menangani isu berkenaan.

Katanya, semua 16 PBT di negeri ini perlu mengambil tindakan turun ke lapangan untuk menyemak lesen perniagaan yang sudah dikeluarkan.

"Saya sudah keluarkan arahan awal tahun ini kepada 16 PBT Johor untuk mula ambil tindakan dan tubuhkan Jawatankuasa Khas serta turun ke lapangan untuk semak lesen perniagaan, terutama yang dikendalikan warga asing.

"Jika (lesen perniagaan) disewakan pemilik kepada warga asing atau Ali Baba, maka kita boleh batalkan lesen dan senarai hitam terus, jangan ingat kebal.

"Kerajaan Johor tidak pernah keluarkan lesen perniagaan termasuk penjaja kecil kepada warga asing. Mereka diharamkan berniaga.

"PBT di Johor sudah mula menyita dan merampas perniagaan, terutama gerai penjaja yang dikendalikan warga asing malah gerai dimiliki PBT juga sedang menjalani proses pemutihan supaya tiada warga asing yang menyalahgunakan lesen perniagaan dikeluarkan," katanya.

Belia berkata demikian pada sidang media menerima sumbangan SWM Environment Sdn Bhd kepada kerajaan Johor yang bernilai RM122,500 untuk disalurkan kepada golongan B40, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin.

Dalam pada itu, Mohd Jafni berkata, kerajaan Johor sudah membangkitkan isu perniagaan dikendalikan warga asing menggunakan nama orang tempatan yang dibuat menerusi perkahwinan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, baru-baru ini.

Katanya, isu itu dibangkitkan supaya ada prosedur dan kawalan tertentu dirangka kementerian supaya lesen perniagaan tidak disalahguna warga asing untuk berniaga di negara ini.

"Kita juga sudah minta supaya semua PBT meningkatkan operasi berkala bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen (Imigresen) bagi membanteras peniaga warga asing termasuk di pasar kerana mereka 'membunuh' peniaga tempatan.

"Peniaga warga asing terutama di pasar, menjual ikan kembung, misalnya pada harga RM10, sedangkan peniaga tempatan jual RM15. Ini kerana warga asing tak ada kos dan berniaga secara haram.

"Jangan buat operasi apabila isu sedang panas sahaja tetapi kena buat selalu, sebulan sekali supaya tidak ada lesen berniaga yang disalah guna warga asing," katanya.

Berita Harian X