Ahad, 11 Februari 2024 | 10:52am
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim meninjau bot yang ditahan berikutan menceroboh perairan Terengganu, di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering pada 29 Januari lalu. - Foto NSTP/ Nazdy Harun
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim meninjau bot yang ditahan berikutan menceroboh perairan Terengganu, di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering pada 29 Januari lalu. - Foto NSTP/ Nazdy Harun

Terengganu naikkan peruntukan Tabung Bencana Pertanian

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri menaikkan peruntukan Tabung Bencana Negeri (TBP) sebanyak RM1 juta tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata TBP yang diperkenalka sejak tahun 2020 dinaikkan sebanyak RM1 juta menjadikan RM2 juta tahun ini.

Katanya, peningkatan peruntukan TBP membuktikan keprihatinan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kepada sektor pertanian yang sering berhadapan dengan bencana alam dan ternakan diserang pelbagai penyakit serta musibah luar biasa.

"Kita membelanjakan sebanyak RM688,600 untuk membantu meringankan 724 pengusaha dalam bidang pertanian, penternakan dan perikanan yang dilanda bencana tahun lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengenai program Skim Bantuan Modal Tani yang diperkenalkan kerajaan sejak tahun 2019 hingga tahun lalu, Dr Azman yang juga ADUN Jabi berkata, seramai 510 warga tani memperoleh manfaat dengan nilaian kira-kira RM9.10 juta membabitkan tiga sektor iaitu tanaman, ternakan dan perikanan.

"Keluasan pembangunan tanaman padi di kawasan jelapang mencapai keluasan 4,541 hektar berbanding 6,675 hektar di luar jelapang.

"Keluasan ladang MyGap dalam jelapang seluas 415.21 hektar dengan bilangan ladang sebanyak 437 membabitkan 383 petani," katanya.

Berita Harian X