Sabtu, 10 Februari 2024 | 12:33pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Tak sampai 2 bulan, 15 kes denggi dilapor di Taman Bukit Kempas

JELEBU: Taman Bukit Kempas di sini disenarai antara lokasi panas denggi oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Bakri Sawir, berkata sebanyak 15 kes denggi dilaporkan di kawasan perumahan berkenaan dalam tempoh 44 hari sejak 28 Disember.

"Pejabat Kesihatan daerah turut keluarkan 12 saman pada Disember, Januari dan Februari kepada penduduk kerana pembiakan jentik-jentik di kediaman. Yang jadi masalah, ada antara mereka minta bantuan saya untuk bayar saman sedangkan itu kesalahan sendiri.

"Kes denggi di kawasan itu sesuatu yang sangat serius dan menakutkan, apatah lagi KKM menyenaraikan Taman Bukit Kempas lokasi panas denggi. Bagi menanganinya, 12 agensi kerajaan di Jelebu bersama penduduk turun padang mengadakan gotong-royong mega semalam.

"Selepas ini, saya berharap penduduk dapat menjaga kebersihan di kediaman masing-masing dan berpegang kembali kepada ajaran Islam, kebersihan sebahagian daripada iman,"katanya ketika ditemui hari ini.

Bakri berkata gotong-royong hanya tindakan sementara sedangkan penjagaan kebersihan secara berterusan perlu diamalkan sepanjang masa.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman berkenaan, Yusnizam Yusran, berkata kes demam denggi dalam jumlah yang banyak adalah yang pertama di kawasan perumahan berkenaan,

"Biasanya, hanya satu kes dalam satu atau dua bulan, tapi 15 kes dalam tempoh 44 hari sangat membimbangkan. Sejak kes dilaporkan, pelbagai usaha dilakukan Pejabat Kesihatan termasuk semburan.

"Penguat kuasa kesihatan turut melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah termasuk memeriksa dalam rumah penduduk. Perlu juga diperiksa kolam takungan dan loji kumbahan kerana ada mendakwa loji kumbahan turut jadi tempat pembiakan nyamuk," katanya.

Berdasarkan portal idengue.mysa.gov.my, lokaliti hotspot bermaksud kawasan wabak berpanjangan melebihi 30 hari dan Taman Bukit Kempas berada di nombor 14 dalam senarai berkenaan.

Berita Harian X