Isnin, 5 Februari 2024 | 5:13pm
Pengarah IVI UKM, Prof Madya Dr Rabiah Abdul Kadir (kiri), Pengerusi PowerNow Sdn Bhd, Datuk Baharom Talib (dua dari kiri) dan Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Penyelidikan dan Inovasi UKM, Prof Datuk Dr Wan Kamal Mujani (dua dari kanan) ketika melancarkan Program AIOT-Preneur di Bangunan Akademia Siber Teknopolis, UKM hari ini. - Foto NSTP/Ercy Gracella Ajos
Pengarah IVI UKM, Prof Madya Dr Rabiah Abdul Kadir (kiri), Pengerusi PowerNow Sdn Bhd, Datuk Baharom Talib (dua dari kiri) dan Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Penyelidikan dan Inovasi UKM, Prof Datuk Dr Wan Kamal Mujani (dua dari kanan) ketika melancarkan Program AIOT-Preneur di Bangunan Akademia Siber Teknopolis, UKM hari ini. - Foto NSTP/Ercy Gracella Ajos

UKM perkenal AIOT-Preneur, perkasa bidang AI dan IoT dalam sektor pendidikan tinggi

KUALA LUMPUR: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini melancarkan program perdana AIOT-Preneur dalam usaha memperkasakan aspek kecerdasan buatan (AI) dan internet pelbagai benda (IoT) dalam sektor pendidikan tinggi.

Selain itu, program berkenaan juga sebagai satu daripada inisiatif dalam menyampaikan ilmu pengetahuan dari segi teknologi dan keusahawanan kepada peserta program terdiri mahasiswa UKM.

Program terbabit dianjurkan oleh Institut Informatik Visual (IVI), UKM bersama rakan strategiknya termasuk ARBIOT Sdn Bhd; PowerNow Sdn Bhd dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).

Pengarah IVI, Prof Madya Dr Rabiah Abdul Kadir, berkata program AIOTPreneur adalah salah satu usahasama untuk meningkatkan taraf hidup pelajar selain golongan berpendapatan rendah sekali gus menjadikan kehidupan mereka lebih kukuh.

Katanya, program itu disusun untuk menyampaikan ilmu pengetahuan dari segi teknologi dan keusahawanan kepada pelajar.

"Mereka (peserta) akan didedahkan dengan pengurusan bisnes melalui mesin layan diri dengan dibantu oleh rakan strategik kami seperti INSKEN.

"IVI juga akan memastikan 'technology transfer' (pemindahan teknologi)akan dilaksanakan agar semua pihak dapat menikmatinya," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program itu.

Majlis pelancaran diadakan di Bangunan Akademia Siber Teknopolis, UKM, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Penyelidikan dan Inovasi UKM, Prof Datuk Dr Wan Kamal Mujani dan Pengerusi PowerNow, Datuk Baharon Talib.

Dalam pada itu, Rabiah berkata, dengan adanya program seperti itu ia akan menjadi suatu wacana yang akan memudahkan perkongsian data dan sumber.

"Justeru, penyelidik di universiti perlu mengambil peluang ini untuk meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan kepakaran di samping mengeluarkan hasil penyelidikan yang bertepatan dengan kehendak dan keperluan industri," katanya.

Sementara itu, Wan Kamal berkata, pemerkasaan aspek penyelidikan dan inovasi adalah elemen yang penting dan UKM sangat menggalakkan jaringan kolaborasi berbentuk Quadruple Helix, iaitu kolaborasi di antara akademia, industri, kerajaan dan masyarakat setempat bagi menggalakkan aktiviti inovasi dan pengkomersialan melalui hasil penyelidikan yang dijalankan di universiti.

"Besar harapan saya Program AIOT-Preneur ini terus diperluaskan lagi dalam UKM supaya universiti dan industri saling bekerjasama dalam apa jua wadah untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat," katanya.

Berita Harian X