Selasa, 30 Januari 2024 | 6:01pm
Jabatan Pertanian Daerah Kerian bersama penduduk dalam sesi amali inovasi memotong padi di Parit Haji Yusof, Batu 5. - Foto NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Jabatan Pertanian Daerah Kerian bersama penduduk dalam sesi amali inovasi memotong padi di Parit Haji Yusof, Batu 5. - Foto NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Jabatan Pertanian bantu bekal alat inovasi kepada pesawah di Kerian

PARIT BUNTAR: Jabatan Pertanian Daerah Kerian, dijangka akan membantu pesawah dalam membekalkan alatan inovasi bagi membolehkan mereka mengambil tanaman padi yang tidak dapat dituai jentera pada musim ini.

Pegawainya, Ridhuan Othman, berkata pihak jabatan boleh membekalkan peralatan terbabit iaitu mata pemotong rumput bulat berserta penepis khas bagi membolehkan padi yang dimesin terkumpul pada satu tempat.

Menurutnya, cara itu lebih efektif dan berkesan berbanding dengan kaedah tradisional.

"Pihak jabatan tiada masalah membekalkan peralatan berkenaan kepada pesawah yang terkesan dengan kejadian tanah jerlus yang masuk musim keempat di daerah Kerian.

"Peralatan khas diubahsuai itu dianggarkan berharga kurang daripada RM30 dan kita tiada masalah untuk membantu.

"Jabatan juga mengalu-alukan idea dari mana-mana pihak atau pesawah dalam mencipta peralatan lain bagi memudahkan pesawah mengambil hasil padi mereka yang tidak dapat dituai," katanya ditemui media selepas sesi amali inovasi memotong padi di Parit Haji Yusof, Batu 5, di sini, hari ini.

Beliau berkata, seluas 1,500 hektar sawah padi di Kerian Laut berdepan masalah tanah jerlus dan menyebabkan pesawah mengalami kerugian besar sehingga ada yang tidak mampu lagi untuk mengusahakan tanaman itu pada musim akan datang.

Majoriti pesawah yang ditemui menyuarakan mahu menukarkan tanaman sawah padi kepada kelapa sawit kerana kurang berisiko selain mampu memberikan pulangan bulanan kepada pengusaha apabila dituai.

Selain itu ada juga pesawah yang mahu merehatkan sawah padi mereka selama satu atau dua musim bagi mengeraskan semula tanah, namun perkara itu tidak akan tercapai jika sistem pengairan atau perparitan mereka tidak diselenggara.

Berita Harian X