Isnin, 29 Januari 2024 | 4:44pm
Sukarelawan membantu membersihkan kediaman penduduk di Kampung Shukor, Dungun. NSTP/Zatul Iffah Zolkiply
Sukarelawan membantu membersihkan kediaman penduduk di Kampung Shukor, Dungun. NSTP/Zatul Iffah Zolkiply

521 mangsa banjir masih berlindung di 3 PPS di Dungun

KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus menunjukkan penurunan dengan 521 mangsa daripada 170 keluarga masih berlindung di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Dungun, setakat jam 4 petang ini.

Dungun menjadi satu-satunya daerah yang masih dilanda banjir gelombang keempat yang bermula Selasa lalu.

Pagi tadi, seramai 782 mangsa daripada 228 keluarga berada di enam PPS di daerah berkenaan.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, tiga PPS yang masih aktif adalah Dewan Serbaguna Kampung Shukor, Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja dan Dewan Serbaguna Kampung Paya Kemudi.

PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja menempatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 247 mangsa daripada 96 keluarga, diikuti Dewan Serbaguna Kampung Shukor yang menjadi tempat berteduh 226 mangsa (61 keluarga).

Seramai 48 mangsa daripada 13 keluarga lagi berada di PPS Dewan Serbaguna Kampung Paya Kemudi.

Keadaan cuaca ketika ini mendung di kebanyakan kawasan di negeri ini.

Sementara itu, laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati tiada sungai direkodkan melepasi paras bahaya, amaran dan waspada.

Cuaca yang baik menyebabkan paras air di kebanyakan sungai utama di Terengganu mula menunjukkan trend penurunan walaupun masih melepasi paras normal.

Berita Harian X