Ahad, 28 Januari 2024 | 12:02am
Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang dan kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengesan kedudukan Hutan Simpan Chini Bera tempat lima orang termasuk empat kakitangan Pejabat Renjer Hutan Bera terkandas selepas kejadian kepala air. - Foto Ihsan JPNP
Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang dan kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengesan kedudukan Hutan Simpan Chini Bera tempat lima orang termasuk empat kakitangan Pejabat Renjer Hutan Bera terkandas selepas kejadian kepala air. - Foto Ihsan JPNP

Lima terperangkap dua hari di Hutan Simpan Chini akibat kepala air

BERA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima orang termasuk empat kakitangan Pejabat Renjer Hutan Bera yang terperangkap dalam Hutan Simpan Chini di sini selepas kejadian kepala air kelmarin, diselamatkan kira-kira jam 4 petang tadi.

Kepala air dilapor berlaku kira-kira jam 11 malam ketika mereka berehat di khemah tempat bermalam.

Empat kakitangan pejabat renjer yang terkandas ialah Mohamad Syariman Mohammed Simin, Aliff Abeng, Mustakim Ab Mubin dan Razlan Nor Rani @ Abd Ghani (pemandu) manakala seorang lagi pekerja kontraktor yang tidak diperoleh identitinya.

Mereka berada di kawasan hutan berkenaan bagi membuat semakan kerja penandaan pokok balak dan pengesahan sempadan kawasan lesen pembalakan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata 22 anggota Balai Bomba Penyelamat (BBP) Triang, Polis dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) terbabit dalam operasi SAR hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata pihaknya menerima maklumat lima kakitangan Pejabat Renjer Hutan Bera terperangkap dalam hutan selepas berlaku kepala air dan paras Sungai Bera meningkat.

Katanya, mereka berada di Hutan Simpan Chini Bera bagi memantau kawasan hutan berkenaan dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda.

"Kejadian kepala air menyebabkan semua kelengkapan perkhemahan dihanyutkan arus deras manakala kenderaan dinaiki juga dikatakan tenggelam.

"Ia berikutan paras Sungai Bera yang naik dengan cepat susulan kepala air yang berlaku akibat hujan lebat secara berterusan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zulfadli berkata, lapan anggota BBP Triang bersama 10 kakitangan JPNP dan empat anggota polis memulakan SAR pagi tadi dengan keadaan dilaporkan agak mencabar kerana hutan masih dipenuhi air.

Beliau berkata, semua peralatan dan kelengkapan mangsa termasuk bekalan makanan di tapak perkhemahan dikatakan dihanyutkan arus deras.

Katanya, kedudukan lokasi yang jauh ke dalam hutan menyebabkan perhubungan terputus, namun pasukan SAR berjaya mengesan kedudukan mangsa sebelum membawa mereka keluar menggunakan motosikal sebelum menaiki kenderaan disediakan.

Sementara itu, sumber JPNP menyatakan, untuk sampai ke lokasi kejadian perlu menggunakan jalan balak sejauh 11 km dan jalan pintasan tujuh km.

Berita Harian X