Isnin, 22 Januari 2024 | 3:39pm
Pesawah, Ehsan (kiri) menunjukkan kepada Mohd Misbahul tanah sawahnya yang jerlus dan menyebabkan padinya tidak dapat dituai. - Foto NSTP/Shaiful SHahrin Ahmad Pauzi
Pesawah, Ehsan (kiri) menunjukkan kepada Mohd Misbahul tanah sawahnya yang jerlus dan menyebabkan padinya tidak dapat dituai. - Foto NSTP/Shaiful SHahrin Ahmad Pauzi

Nasib pesawah Parit Buntar semakin terhimpit

PARIT BUNTAR: Nasib pesawah di Parit Buntar yang tidak dapat menuai padi menggunakan jentera semakin terhimpit apabila majoriti golongan ini tiada sumber pendapatan lain.

Bagaikan jatuh ditimpa tangga apabila mereka terpaksa berhutang lagi dengan 'orang tengah' berikutan hasil padi tidak menjadi akibat tanah jerlus serta diserang penyakit padi dan tikus.

Pesawah, Shahril Hamzah, 30, berkata kebiasaan pesawah menggunakan kaedah hutang bagi kerja-kerja di sawah seperti, benih, jentera pembajak, jentuai dan kerja-kerja meracun menggunakan dron.

Menurutnya setiap hektar sawah padi yang diusahakan sekurang-kurangnya menelan belanja sekitar RM1,000 dan pesawah di sini kebiasaannya akan berhutang dulu dengan pembeli padi.

"Sudah dua musim pesawah di sini tak dapat hasil yang diharapkan kerana faktor tanah jerlus serta beberapa penyakit lain.

"Ini musim kedua kejadian tanah jerlus berlaku dan lebih malang sawah padi pula kena serangan tikus dan karah.

"Jadi apabila padi tidak dapat dituai mana mereka nak cari duit bayar semua hutang itu?" katanya ditemui media di Parit Abas, Kuala Kurau.

Seorang lagi pesawah Mohd Zulfahmi Akhyar, 34, berkata dia terpaksa melepaskan 0.81 hektar sawah padinya kepada pembeli padi selama dua musim berikutan tidak mampu melunaskan hutang benih dan jentera pembajak.

"Bukan kata hutang benih dan jentera, sewa bendang pada tuan tanah pun tak mampu nak bayar dan saya berharap akan dapat ihsan atau budi bicara dari tuan tanah.

"Kebiasaannya sewa bendang di sini sekitar RM400 seekar dan kalau dapat kurang sikit atau bayar separuh pun memadai," katanya.

Sementara itu, Peladang Muda Unit Parit Abas, Mohd Naim Firdaus Othman, 31, berkata mahu tidak mahu dia terpaksa menjual jentera pembajak miliknya kepada penduduk kampung bagi melunaskan hutang pada pembeli padi.

"Nak buat macam mana, saya tak ada sumber pendapatan lain.

"Musim lalu pun saya berhutang RM1,300 pada pembeli padi dan musim ni perkara sama berlaku apabila padi yang diusahakan tidak menjadi.

"Jadi saya terpaksa menjual satu daripada dua jentani milik saya kepada penduduk kampung dengan harga RM2,500 bagi melunaskan hutang," katanya.

Nasib malang pesawah ini mendapat perhatian Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki yang hadir ke sawah di Parit Abas bersama Pegawai Pertanian Daerah Kerian, Ridhuan Othman.

Tambahnya pihaknya berharap kerajaan dapat memberi bantuan wajar kepada pesawah disini yang sudah dua musim ditimpa masalah.

Sementara itu, Ridhuan berkata selain serangan penyakit padi, siasatan awal pihaknya mendapati lebih

30 peratus dari 18,900 hektar sawah padi di Kerian, rosak akibat serangan tikus.

Tambahnya bagi mengawal serangan tikus ini pihaknya telah pun mengedarkan umpan dan racun kepada pesawah secara berkelompok dan turut membina 50 rumah burung pungguk untuk kawalan biologi.

Berita Harian X