Ahad, 21 Januari 2024 | 9:14pm
Mohd Misbahul Munir (kanan) melihat tanah sawah yang jerlus hingga menyebabkan padi tidak dapat dituai. NSTP/SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Mohd Misbahul Munir (kanan) melihat tanah sawah yang jerlus hingga menyebabkan padi tidak dapat dituai. NSTP/SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI

Lebih 1,000 pesawah rugi akibat tanah jerlus, padi diserang tikus

PARIT BUNTAR: Lebih 1,000 pesawah di daerah ini bukan saja berdepan masalah tanah jerlus untuk kali kedua, malah tanaman padi yang diusahakan mereka turut diserang tikus dan penyakit padi.

Keadaan itu menyebabkan pesawah kerugian apabila tanaman padi tidak dapat dituai dan semakin mereput akibat tanah jerlus, manakala serangan penyakit yang menyebabkan padi menjadi ringan turut menjadikan kehidupan mereka semakin terhimpit.

Pesawah, Mohd Shaiful Ahmed,40, berkata musim padi kali ini menjadi mimpi ngeri pesawah di daerah ini apabila padi di hampir setiap kawasan di beberapa mukim di Parit Buntar tidak dapat dituai akibat tanah jerlus.

"Kami ditimpa musibah pada musim ini kerana bukan saja tanah jerlus berlaku buat kali kedua, malah sawah juga diserang tikus yang memusnahkan tanaman padi.

"Tidak cukup dengan itu, padi yang tinggal pula menjadi ringan akibat serangan pelbagai penyakit padi seperti karah padi (BLB) dan reput tangkai.

"Kami kini terbeban dan sebahagian besar pesawah terpaksa berhutang bagi meneruskan kehidupan kerana hasil padi tidak diperoleh kali ini," katanya ketika ditemui di Parit Abas, Kuala Kurau, di sini, hari ini.

Turut hadir meninjau masalah pesawah, Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki dan Pegawai Pertanian Kerian, Ridhuan Othman.

Mohd Shaiful berkata, dia yang mengusahakan sawah padi seluas lima hektar terjejas teruk musim ini kerana hasil padi diperoleh tidak mampu melangsaikan hutang benih dan jentera pembajak.

"Saya biasanya mendapat hasil padi sekitar 30 tan, namun musim ini hanya memperoleh enam tan bersih padi.

"Keadaan ini menyebabkan saya masih berhutang dengan pengilang dan tidak mampu membayar duit benih serta upah jentera pembajak hampir RM10,000," katanya.

Katanya, sawah padinya seluas hampir dua hektar diserang tikus, manakala selebihnya padi menjadi ringan akibat diserang penyakit.

Sementara itu, Ridhuan berkata, siasatan dilakukan pihaknya mendapati lebih 30 peratus sawah padi di Kerian diserang haiwan perosak itu.

"Serangan tikus ini tidak termasuk dalam kategori bencana dan pihak Jabatan Pertanian sudah melancarkan kempen kawalan peringkat awal serta mengedarkan umpan dan racun kepada pesawah secara berkelompok.

"Menyedari masalah tikus ini, kita turut membina 50 rumah burung pungguk untuk kawalan biologi," katanya.

Mohd Misbahul Munir pula berkata, pihaknya menggesa menteri atau timbalannya turun padang melihat kesusahan dialami pesawah di Kerian.

Beliau berkata, kerajaan perlu mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah tanah jerlus yang difahamkan memasuki musim kedua.

"Sudah dua musim pesawah terkesan dan menanggung hutang akibat tidak mendapat hasil kerana masalah tanah jerlus.

"Pada peringkat kementerian, ada cadangan supaya merehatkan tanah sawah di sini selama satu atau dua musim, namun siapa akan menanggung kos sara hidup pesawah jika ia dilaksanakan.

"Jadi, kerajaan perlu membayar pampasan setimpal mengikut keluasan yang mereka usahakan," katanya.

Beliau berkata, masalah yang berlaku ini menyebabkan ramai pesawah mahu mengubah tanaman padi kepada tanaman lain seperti sawit dan jagung, namun ia tidak boleh dilakukan kerana tanah di sini digazetkan sebagai jelapang padi negara.

Berita Harian X