Ahad, 31 Disember 2023 | 5:36pm
Tajuddin (tengah) dan Samsudin (kiri) bersama pesawah menunjukkan pokok padi yang rosak akibat diserang penyakit BLB di Parit 10 Kampung Permatang Pelanduk, Mukim Labu Kubong, Pasir Salak, hari ini. NSTP/Muhamad Lokman Khairi
Tajuddin (tengah) dan Samsudin (kiri) bersama pesawah menunjukkan pokok padi yang rosak akibat diserang penyakit BLB di Parit 10 Kampung Permatang Pelanduk, Mukim Labu Kubong, Pasir Salak, hari ini. NSTP/Muhamad Lokman Khairi

60 pesawah rugi hampir RM500,000 padi diserang BLB

PASIR SALAK: Seramai 60 pesawah di Mukim Labu Kubong, di sini kerugian hampir RM500,000 selepas kira-kira 120 hektar tanaman diserang penyakit hawar daun bakteria atau 'bacterial leaf blight' (BLB).

Lebih memeritkan, ini menyebabkan mereka berdepan masalah kewangan kerana rata-rata pesawah berhutang ribuan ringgit setiap musim menerusi skim pertanian dengan Agrobank sebagai modal dan perlu mencari modal lain bagi penanaman padi musim depan.

Ibrahim Shah Ahmad, 70, berkata kejadian serangan bakteria itu pada musim ini paling buruk pernah dihadapinya apabila semua tanaman padi seluas 4.8 hektar yang diusahakannya di Parit 10 Kampung Permatang Pelanduk, di sini, tidak boleh dituai.

Katanya, ini kerana penyakit berkenaan menjejaskan kualiti biji padi seterusnya mengurangkan berat bijirin padi.

"Seekar tanaman padi memerlukan modal sehingga RM1,500. Bermakna pada musim ini saya terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM18,000.

"Musim sebelum ini pernah juga terjadi serangan penyakit BLB ini, ada juga kerugian namun tidaklah seteruk kali ini kerana saya langsung tak boleh tuai hasil.

"Kebiasaan saya boleh dapat tujuh tan bagi satu lot sawah seluas dua hektar, tetapi padi musim ini tak boleh dipotong sebab tiada hasil. Pendapatan saya musim ini memang sifar," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ibrahim Shah berkata, majoriti pesawah menyewa tanah milik orang dengan bayaran RM3,000 hingga RM3,500 setiap musim bagi satu lot sawah, bergantung jaraknya dengan jalan utama yang boleh diakses kenderaan.

Berkongsi nasib sama, Mohd Syukri Daud, 37, berkata penyakit BLB turut menyerang sawah diusahakannya seluas 4.4 hektar di Parit 10 Kampung Permatang Pelanduk, di sini.

Katanya, dia tidak dapat menuai sebarang hasil berbanding untung bersih RM18,000 diperolehnya pada musim sebelum ini.

Samsudin Mohamed Jalani, 54, pula berkata dirinya berasa sangat terkesan apabila tanaman padi berkeluasan 1.2 hektar di Parit 10 Kampung Permatang Pelanduk sudah dijangkiti teruk oleh bakteria sama manakala 2 hektar lagi di Parit 9 kelihatan baru dijangkiti BLB.

Bapa empat anak itu berkata, sawah itu adalah satu-satunya sumber pendapatannya bagi menyara dua anak yang juga orang kurang upaya (OKU) dan dua anaknya yang masih belajar.

Sementara itu, Presiden Bangkit Pasir Salak, yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ketika ditemui melawat kawasan sawah yang terjejas, mengesyorkan supaya agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melakukan penyelidikan bagi mengatasi penyakit BLB.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berkata pengetahuan saintifik mengenai kawalan penyakit itu penting untuk dikuasai kerana membabitkan periuk nasi pesawah tempatan dan kebajikan keluarga mereka.

"Tanah sawah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik di sini berkeluasan 6,000 hektar dan hasil berasnya boleh mencecah 20,000 tan bagi satu musim jika tiada apa-apa masalah seperti serangan penyakit atau pengairan," katanya.

Berita Harian X