Ahad, 31 Disember 2023 | 5:02pm
Pegawai Pendidikan dan Penyelaras Pertanian Asli CAP, NV Subbarow menunjukkan hasil tanaman yang dituai menerusi kaedah berkebun bandar. NSTP/Ihsan CAP
Pegawai Pendidikan dan Penyelaras Pertanian Asli CAP, NV Subbarow menunjukkan hasil tanaman yang dituai menerusi kaedah berkebun bandar. NSTP/Ihsan CAP

Peningkatan harga makanan global: CAP galak rakyat tanam sayuran

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa rakyat supaya menanam sayur-sayuran di rumah berikutan harga makanan pada tahun 2024 dijangka terus tidak menentu.

Penyelaras Pertanian Asli CAP, NV Subbarow, berkata pengguna boleh menanam apa-apa jenis sayur-sayuran dan tumbuhan herba, pada awal tahun baharu, bagi mengurangkan beban kenaikan harga sayur-sayuran.

Katanya, ramai petani yang dihubungi CAP mengadu mengenai masalah harian mereka termasuk harga baja dan masalah pekerja tidak dapat bekerja di ladang mereka kerana hujan berpanjangan.

"Oleh itu, kami menggesa pengguna untuk menanam sayur-sayuran sendiri dengan mudah di rumah, yang boleh menjimatkan kos dan tidak memerlukan ruang yang besar.

"Tumbuhan berbuah seperti bendi, terung, cili dan sayur-sayuran berdaun seperti sawi, kangkung, kalian, bayam serta pokok pudina, pegaga, kesum dan selom boleh ditanam dengan mudah walaupun di balkoni," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Subbarow berkata, untuk tujuan itu, barangan rumah yang biasa digunakan seperti kotak atau botol susu, jus dan minuman, serta bekas kecil lain boleh digunakan untuk tumbuhan yang mempunyai sistem akar yang lebih kecil seperti sayur-sayuran.

"Bagi tumbuhan yang mempunyai akar yang lebih dalam seperti bendi dan terung, pengguna boleh menggunakan barangan seperti tin biskut, tin minyak lima liter dan botol air lima hingga 20 liter sebagai bekas tanaman.

"Dengan cahaya matahari, air dan baja yang mencukupi, sesiapa sahaja boleh menanam dan menuai sayur-sayuran walaupun di tempat yang kecil," katanya.

CAP turut menggesa rakyat Malaysia mengamalkan aktiviti kebun bandar dengan berkesan.

Katanya, krisis iklim adalah antara satu punca utama peningkatan mendadak dalam kelaparan global.

"Kejutan iklim memusnahkan kehidupan, tanaman dan mata pencarian, dan menjejaskan keupayaan orang ramai untuk memberi makan kepada diri mereka sendiri," katanya.

Saranan CAP itu susulan unjuran oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) yang menjangkakan permintaan makanan dunia mungkin meningkat 70 peratus menjelang 2050, dengan sebahagian besar unjuran peningkatan permintaan makanan global dijangka datang daripada peningkatan pendapatan pengguna di rantau seperti Asia, Eropah Timur dan Amerika Latin.

Subbarow berkata, masalah kebuluran akan berada di luar kawalan jika dunia gagal mengambil tindakan segera ke atas iklim.

"Harga baja global telah meningkat lebih cepat daripada harga makanan, yang kekal pada paras tertinggi 10 tahun itu sendiri.

"Kesan perang di Ukraine, termasuk harga gas asli yang lebih tinggi, telah mengganggu pengeluaran dan eksport baja global sehingga menyebabkan kekurangan bekalan, harga naik dan mengancam untuk mengurangkan hasil," katanya.

Berita Harian X