Jumaat, 15 Disember 2023 | 3:47pm
EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman menyampaikan sijil kelulusan pembinaan Rumah Mesra Rakyat (RMR) selepas merasmikan majlis Taklimat Program RMR Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Molek, hari ini. NSTP/Amir Mamat
EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman menyampaikan sijil kelulusan pembinaan Rumah Mesra Rakyat (RMR) selepas merasmikan majlis Taklimat Program RMR Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Molek, hari ini. NSTP/Amir Mamat

SPM di Melaka diteruskan pada hari cuti umum 20 Februari depan

MELAKA: Kerajaan negeri menetapkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 20 Februari tahun depan akan berjalan seperti biasa meskipun tarikh berkenaan adalah cuti umum di Melaka.

EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, berkata langkah itu bagi menyelaraskan dengan peperiksaan terbabit di negeri lain, selain memudahkan pemantauan oleh pihak Kementerian Pendidikan (KPM).

"Pada 20 Februari ditetapkan sebagai cuti umum bagi Melaka dan pada hari berkenaan, peperiksaan SPM sedang berjalan tetapi untuk makluman, kita tidak menangguhkan kertas peperiksaan pada hari terbabit.

"Empat kertas yang dijadualkan oleh KPM sebelum ini akan diteruskan dan 336 petugas akan menjalankan tanggungjawab mereka seperti biasa pada hari berkenaan.

"Jangan nanti mereka (pelajar) ingat peperiksaan ditangguhkan kerana cuti umum. Sebenarnya kita tak boleh tangguh (peperiksaan pada hari itu) kerana kalau kita tangguh dan buat tarikh lain, pihak KPM kena buat kertas lain yang membabitkan banyak kos, jadi kita teruskan juga," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Taklimat Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Molek, di sini hari ini.

Justeru, beliau berharap calon dan petugas yang terbabit dengan peperiksaan SPM pada tarikh berkenaan tidak keliru dengan status peperiksaan berkenaan.

Empat kertas peperiksaan pada hari berkenaan iaitu subjek Manahij al-'Ulum al-Islamiah, Pendidikan Seni Visual Kertas 2, Pendidikan Muzik Kertas 1 dan Reka Cipta Kertas 1.

KPM sebelum ini menetapkan peperiksaan SPM 2023 akan bermula pada 30 Januari hingga 7 Mac 2024.

Di Melaka, seramai 12,900 calon bakal menduduki peperiksaan SPM di 103 pusat peperiksaan dengan membabitkan 1,255 petugas peperiksaan.

Kerajaan Melaka sudah mewartakan 20 Februari setiap tahun, bermula tahun hadapan sebagai cuti umum baharu di negeri itu bagi memperingati Hari Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Negara yang dilakukan pada 20 Februari 1956.

Berita Harian X