Khamis, 14 Disember 2023 | 2:35pm
Exco Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan Negeri Perlis, Razali Saad. NSTP/Aizat Sharif
Exco Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan Negeri Perlis, Razali Saad. NSTP/Aizat Sharif

500 hektar tanaman jagung bijian dibangunkan di Perlis menjelang 2025

KANGAR: Jabatan Pertanian Perlis menyasarkan 500 hektar tanaman jagung bijian akan dibangunkan menjelang 2025 yang dapat menghasilkan 4,500 tan metrik jagung bijian untuk negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri, Razali Saad, berkata keluasan fizikal kawasan penanaman jagung bijian di Perlis setakat ini ialah 408 hektar membabitkan empat syarikat, dua agensi dan enam usahawan.

"Daripada keluasan ini, 190.8 hektar telah bertanam dan telah mengeluarkan hasil sebanyak 183.8 tan metrik sejak 2022," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kompleks DUN di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Mohd Ridzuan Hashim (PN-Guar Sanji) yang ingin tahu sejauh mana Perlis telah membantu negara mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan makanan ternakan dari luar negara.

Razali berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian Perlis melaksanakan penanaman jagung bijian sejak 2017 di kawasan Lembah Chuping dan sebanyak RM0.45 juta telah diperuntukkan di bawah Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan pada tahun ini.

"Sementara sebanyak RM0.35 juta di bawah Program Pembangunan Makanan Ternakan merangkumi pemberian insentif pembangunan infrastruktur projek, jentera dan peralatan pertanian serta bantuan input pertanian," katanya.

Selain itu, beliau berkata, Projek Industri Makanan Ternakan akan diusahakan di tanah kerajaan negeri seluas tujuh hektar oleh Syarikat Eastern Agro & Farming Sdn Bhd, untuk membangunkan pusat pemprosesan bagi menghasilkan makanan ternakan menggunakan campuran tanaman napier dan indigofera.

"Kerajaan negeri turut menerima beberapa permohonan daripada pihak Persatuan Penternak Ruminan Negeri Perlis dan syarikat swasta bagi cadangan tanaman napier di atas tanah kerajaan negeri.

"Namun begitu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) tidak menafikan sekiranya usaha bagi memberi pendedahan kepada penternak untuk mula menanam rumput ternakan atau tumbuhan kekacang dengan protein tinggi ini memerlukan tanah yang luas bagi mencukupkan keperluan harian makanan ternakan," katanya.

Justeru, Razali berkata satu daripada usaha yang boleh diketengahkan adalah dengan menggunakan tanah terbiar untuk tujuan penanaman makanan ternakan bagi mengoptimumkan penggunaan sumber tanah di Perlis.– BERNAMA

Berita Harian X