Selasa, 12 Disember 2023 | 12:21am
Banjir kilat melanda tapak Pesta Pulau Pinang susulan hujan lebat serta angin kencang, malam ini. - FOTO IHSAN PEMBACA
Banjir kilat melanda tapak Pesta Pulau Pinang susulan hujan lebat serta angin kencang, malam ini. - FOTO IHSAN PEMBACA

'Pesta Pulau Pinang dah jadi pesta air'

GEORGETOWN: Tapak Pesta Pulau Pinang antara beberapa lokasi sekitar bahagian pulau di negeri ini yang dilanda banjir kilat dan kejadian pokok tumbang kira-kira jam 8.30 malam ini.

Peniaga dikenali sebagai Ijan, 43, berkata reruai yang disewanya bagi jualan aksesori telefon bimbit dan minuman urut digenangi air.

@bharianmy 'Pesta Pulau Pinang dah jadi pesta air' #BeritaDiTikTok ♬ original sound - Berita Harian

Katanya, paras air mula meningkat kira-kira jam 8.45 malam sebelum surut sejam kemudian.

"Memang hujan lebat malam ini dan rasanya longkang tidak mampu menampung air, menyebabkan berlaku limpahan.

"Hanya peniaga di bahagian belakang tapak pesta terjejas kerana reruai kami berhampiran longkang, tapi syukur sebab saya sempat menyelamatkan barangan jualan.

"Air meningkat ke paras lutut (0.7 meter) dan hampir semua reruai dan kedai ditutup sementara ketika kejadian, malah ada yang berniaga malam ini kerana barang jualan rosak," katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.

Ijan yang berkongsi video kejadian di TikTok menggunakan nama Abam Saka, turut tular di media sosial.

Beliau yang sudah 20 tahun berniaga di tapak pesta berkenaan mendakwa, Pesta Pulau Pinang kali ini berubah menjadi pesta air.

Pasukan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) turut berada di sekitar kawasan tapak pesta bagi melakukan kerja pembersihan.

MBPP turut melaporkan info kejadian pokok tumbang di Jalan Paya Terubong membabitkan laluan dari Air Itam ke Relau.

"Pasukan Skuad Pantas MBPP bergegas ke lokasi kejadian bagi melaksanakan kerja memotong, mengalih dan membersihkan pokok tumbang di kawasan berkenaan," katanya dalam kenyataan di media sosial.

Berita Harian X