Isnin, 4 Disember 2023 | 7:12pm
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menunjukkan buku Belanjawan Negeri Pahang 2024 sebelum membentangkannya di DUN Pahang, hari ini. - BERNAMA
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menunjukkan buku Belanjawan Negeri Pahang 2024 sebelum membentangkannya di DUN Pahang, hari ini. - BERNAMA

Penjawat awam Pahang dapat minimum RM2,000

KUANTAN: Kerajaan Pahang mengumumkan bantuan khas kewangan satu bulan setengah gaji atau minimum RM2,000 kepada penjawat awam negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan bantuan itu ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2024 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Menurutnya, bantuan itu sebagai menghargai dan tanda terima kasih kerajaan negeri kepada seluruh penjawat awam yang terus memberikan dokongan dan keyakinan dalam melaksanakan amanah.

"Sikap profesionalisme dan saling hormat menghormati menjadi adunan penting dalam memastikan negeri kekal maju dan makmur," katanya.

Wan Rosdy berkata, dalam Belanjawan Pahang 2024, murid Tahun Satu akan menerima RM100 seorang, membabitkan 22,000 penerima dengan jumlah keseluruhan RM2.2 juta.

Menurutnya, pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula menerima RM100 seorang, membabitkan 18,000 calon SPM dan 3,500 calon STPM dengan peruntukan sebanyak RM2.15 juta.

"Pelajar tahfiz juga menerima RM100 seorang membabitkan 8,800 orang yang berjumlah RM880,000. Mahasiswa institusi pengajian tinggi awam, politeknik dan kolej komuniti menerima RM400 berbanding RM300 tahun ini, membabitkan 35,464 penerima dengan jumlah RM14.18 juta.

"Mahasiswa anak Pahang diminta berdaftar dengan Yayasan Pahang dan pemakluman mengenai pendaftaran ini akan disiarkan menerusi media sosial Yayasan Pahang, kerajaan Pahang, PahangMedia serta semua media sosial saya sendiri," katanya.

Selain itu, katanya, sumbangan untuk mengambil lesen motosikal kepada anak muda berusia 18 hingga 21 tahun sebanyak RM200 seorang, membabitkan 3,600 penerima yang berjumlah RM720,000.

Berita Harian X