Selasa, 21 November 2023 | 6:25pm
Pengerusi INDEP Education Foundation (IEF), Tan Sri Bernard Dompok (empat dari kanan) pada majlis pelancaran program ‘Be English Speaker Today For A Better Tomorrow’ (BEST) anjuran Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama IEF.
Pengerusi INDEP Education Foundation (IEF), Tan Sri Bernard Dompok (empat dari kanan) pada majlis pelancaran program ‘Be English Speaker Today For A Better Tomorrow’ (BEST) anjuran Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama IEF.

YBR bantu murid luar bandar Sabah kuasai bahasa Inggeris

PENAMPANG: Seramai 390 murid luar bandar di sembilan lokasi di Sabah menyertai Program 'Be English Speaker Today For A Better Tomorrow' (BEST) anjuran Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama INDEP Education Foundation (IEF).

Program dilancarkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick di Sekolah Kebangsaan (SK) Moyog, di sini, semalam, turut membabitkan 90 guru.

Penganjurannya sejajar komitmen YBR dalam memartabatkan bahasa sebagai antara cabang pendidikan dengan objektif memupuk minat pelajar untuk menghargai dan meningkatkan kefasihan bahasa Inggeris.

Menerusi program itu juga, YBR berharap dapat membangunkan keyakinan murid dalam menyatakan diri mereka dengan berkesan melalui bahasa Inggeris secara formal atau tidak formal.

Ewon dalam ucapannya berkata, sokongan padu YBR amat dihargai dalam membantu meningkatkan tahap pendidikan anak-anak Sabah bagi menangani jurang pendidikan serta mewujudkan input linguistik murid di bandar atau luar bandar.

"Usaha sebegini mampu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di Sabah selain kesedaran mengenai fungsi bahasa Inggeris serta meningkatkan keyakinan diri pelajar untuk menggunakan bahasa ini sebagai antara bahasa yang mudah digunakan selain bahasa kebangsaan.

"Guru-guru berpengalaman turut terbabit dalam program ini bagi memastikan murid dan pelajar yang menyertainya dapat menguasai bahasa Inggeris," katanya.

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang; Pengerusi INDEP Education Foundation (IEF), Tan Sri Bernard Dompok; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Dalam majlis sama, Philip berkata, beliau amat menyokong segala bentuk program pendidikan bagi meningkatkan pengetahuan pelajar terutama di Sabah melalui pemerkasaan tahap pendidikan.

"Penganjuran Program BEST ini adalah salah satu langkah alternatif dalam membantu tahap penguasaan bahasa Inggeris pelajar sekolah serta mewujudkan persekitaran yang kompeten di sekolah.

"Melalui Program BEST, ia dapat mengembangkan usaha dalam memastikan tahap pengunaan bahasa antarabangsa ini diberi kepada semua peringkat terutama murid dan pelajar sekolah," katanya.

Beliau berkata, faktor guru turut penting dalam menyediakan modul pembelajaran yang sesuai bagi merangsang penggunaan bahasa serta kefasihan bertutur bahasa Inggeris.

Berita Harian X