Selasa, 18 Julai 2023 | 3:05pm
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming. Foto BERNAMA
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming. Foto BERNAMA

KPKT lulus RM1.45 juta projek di Petaling Jaya

PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Jabatan Kerajaan Tempatan meluluskan peruntukan sebanyak RM1.45 juta untuk melaksanakan projek di bawah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Menteri KPKT, Nga Kor Ming, berkata pihaknya memperuntukkan sebanyak RM350,000 untuk menaik taraf tandas awam dan kerja berkaitan di Taman Rimba Riang, di sini, yang menjadi tumpuan aktiviti riadah bagi masyarakat setempat.

Selain itu katanya, sebanyak RM550,000 pula diperuntukkan bagi menaik taraf bumbung serta kerja berkaitan di Dewan Komuniti MBPJ, manakala RM550,000 lagi untuk menaik taraf serta kerja berkaitan di Gerai Selera Impian di Jalan Nuri, Seksyen 7, Kota Damansara.

"Peruntukan ini akan disalurkan segera kerana ia sudah diluluskan dan kerja juga sudah boleh bermula dengan segera dengan jangkaan siap pada tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Projek Penggantian Lif Sempena Program Sentuhan Kasih KPKT di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib.

Kor Ming berkata, sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Inisiatif Belanjawan Madani 2023 dan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta khusus bagi kerja penyelenggaraan lif di PPR dan perumahan awam.

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak RM2.26 juta diperuntukkan bagi penyelenggaraan lif PPR di negeri Selangor.

"PPR Kota Damansara adalah salah satu PPR yang dibina oleh Kerajaan Persekutuan dan diuruskan oleh kerajaan negeri Selangor.

"Hari ini kita telah sama-sama menjadi saksi bukti kepada kerjasama erat di antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Hari ini kita menyaksikan Perasmian Projek Penggantian 12 unit lif di PPR Kota Damansara dengan kos berjumlah RM3.7 juta bagi kesejahteraan, keselamatan dan keselesaan penduduk," katanya.

Beliau berkata, ramai rakan strategik turut bersama dalam usaha itu dengan sumbangan menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti kerja membaik pulih tujuh tandas awam serta besi penghadang, kerja menaik taraf pondok kawalan dan gelanggang serba guna serta mengecat blok dengan keseluruhan sumbangan bernilai lebih RM200,000.

Berita Harian X