SHAH ALAM: Kerajaan negeri bersama Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menyelesaikan
isu perumahan terbengkalai membabitkan lebih 500 pembeli Rumah Selangorku di Morib, Kuala Langat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata projek berkenaan sedang diteliti oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) serta sudah mendapat perhatian KPKT bagi penyelesaian bersama.
"Kita mengambil beberapa tindakan agresif, projek terbengkalai ini adalah antara isu yang perlu diselesaikan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
"Kita tidak banyak projek sebegitu, Morib antara yang besar, jadi saya akan minta KPKT memasukkan projek itu sebagai yang boleh diselesaikan kerana dalam enam atau tujuh bulan ini KPKT selesaikan lapan projek terbengkalai," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Shah Alam International Logistics Hub (SAILH) di sini, hari ini
Sebelum ini, kira-kira 500 pembeli kediaman projek perumahan Rumah Selangorku bagi golongan B40 di Morib dilaporkan buntu selepas rumah dibeli yang sepatutnya siap pada 2020 belum boleh diduduki.
Rata-rata pembeli dikatakan sudah mula membuat bayaran ansuran pinjaman antara RM1,000 hingga RM1,500 kepada bank sejak 2019, namun apartmen setinggi 17 tingkat itu belum siap dibina.
Sementara itu, Amirudin berkata, pembinaan rumah kos rendah seperti Rumah Selangorku adalah dasar kerajaan yang mesti dilaksanakan oleh syarikat pemaju perumahan.
"Semua projek perumahan perlu letak Rumah Selangorku atau projek kos rendah dan itu adalah dasar kerajaan. Memang kerajaan negeri yang laksanakan Rumah Selangorku tetapi ia adalah sebahagian dasar kerajaan.
"Kita mesti ikut dan paksa pemaju buat, tapi akhirnya bila kita paksa dibina, pemaju gulung (rugi), yang terkesan semua pihak termasuk pembeli.
"Penyelamat kena datang bantu dan saya tahu mereka sebagai peniaga juga tanggung rugi. Kita akan lihat bagaimana untuk menyelesaikan isu ini secara menyeluruh," katanya.