KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menahan empat lagi penjaga parkir haram dalam operasi di sekitar ibu negara malam kelmarin.
Penahanan dilakukan oleh Pasukan Tindakan Khas Jabatan Penguatkuasaan DBKL dalam operasi sekitar Jalan Raja Muda Musa, Jalan Haji Hussein dan Jalan Tengkat Tong Shin pada jam 9.30 malam.
Melalui risikan dan pemerhatian berterusan di lokasi tumpuan, DBKL mendapati ada individu menjaga dan mengutip wang parkir tanpa kebenaran di kawasan awam termasuk di bahu jalan, siar kaki, kawasan lapang atau mana-mana petak letak kereta awam sedia ada pada waktu malam.
"Menerusi operasi khas terbabit, empat lelaki warga tempatan ditahan dan dibawa ke Jabatan Penguatkuasaan untuk tindakan lanjut dan proses dokumentasi.
"Susulan pendakwaan di mahkamah, seorang dihukum penjara dua bulan manakala tiga lagi didenda.
"Tindakan penguatkuasaan dibuat melalui peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 50(3), Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan di Facebook DBKL, hari ini.
Katanya, DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan di lokasi tumpuan dan orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di pautan http://adukl.dbkl.gov.my/eApps/system/index.do.