KOTA BHARU: Lebih 120 pembeli kecewa apabila impian mereka untuk memiliki kediaman sendiri tidak menjadi kenyataan apabila pembinaan rumah idaman terbengkalai sehingga kini.
Mereka mendakwa projek pangsapuri untuk kakitangan awam di Lembah Sireh yang sepatutnya siap pada 2020 tertangguh disebabkan COVID-19, namun sehingga kini pembinaan unit kediaman berkenaan masih lagi pada tahap sama dan tidak menunjukkan sebarang perkembangan.
Kegagalan pemaju menyiapkan projek itu menyebabkan pembeli menanggung beban apabila terpaksa membuat bayaran pinjaman bank sehingga RM1,500 sebulan sejak 2021.
Penjawat awam, Dr Maryam Azlan, 43, berkata, projek pangsapuri berkenaan disasarkan kepada penjawat awam dan kebanyakan pembeli sudah menandatangani perjanjian pembelian rumah pada 2017 dan 2018, malah difahamkan ia masih diiklankan sehingga kini.
"Ada di antara kami yang membuat pinjaman bank, malah ada juga melalui Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), namun sejak ia terbengkalai dua tahun lalu, projek ini tidak menunjukkan sebarang perkembangan.
"Saya membuat bayaran bulanan dengan potongan RM1,500 bermula akhir tahun lalu dan lebih membebankan lagi, pada masa sama turut menanggung bayaran bulanan rumah yang didiami bersama keluarga ketika ini.
"Justeru, saya sebagai pembeli merayu pihak berkenaan yang mungkin boleh mendesak pemaju supaya segera menyiapkan projek ini dan sekiranya hendak dilepaskan ia akan merugikan kerana perlu membayar sejumlah wang yang agak banyak," katanya ketika ditemui bersama beberapa pembeli lain di sini, hari ini.
Seorang lagi pembeli, Siti Alizam Shafie, 35, berkata dia dan beberapa pembeli lain sudah berhubung dengan pemaju untuk mengetahui perkembangan projek ini dan terbaru, pemaju memaklumkan ia akan disiapkan pada September ini.
"Bagaimanapun, tiga minggu lalu kami sekali lagi dimaklumkan tidak ada tarikh sebenar projek ini akan disiapkan.
"Pada masa sama, kami juga menghantar surat kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan turut menggesa pihak pemaju supaya projek ini disiapkan seperti tarikh ditetapkan.
"Saya kecewa dengan tindakan pemaju dan menuntut penjelasan mereka mengenai permasalahan sebenar.
"Sebelum ini saya menyewa rumah dengan bayaran RM600 sebulan, tetapi untuk keselesaan keluarga, saya membeli rumah sendiri pada 2018, malangnya sehingga kini rumah masih belum siap. Berapa lama lagi kami harus tunggu sedangkan bayaran dibuat setiap bulan," katanya.
Sementara itu, Asmat Mohd Zain, 39, pula berkata, dia yang bekerja di Pasir Gudang, Johor, membeli rumah berkenaan kerana mengimpikan untuk memiliki rumah sendiri apabila pulang ke kampung halaman selepas bersara.
"Setiap kali pulang ke Kelantan saya melawat kawasan rumah mampu milik ini, namun apa yang dilihat tidak seperti dibayangkan kerana pembinaannya tetap tidak ada perkembangan.
"Saya amat berharap pemaju dapat menyelami perasaan pembeli yang kecewa, sedih dan terbeban disebabkan masalah ini," katanya.
Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak pemaju gagal selepas beberapa kali dihubungi.
Pangsapuri 29 tingkat untuk kakitangan awam di Lembah Sireh mempunyai 2,120 unit daripada enam blok kediaman, surau, tadika, taska, dan lain-lain di atas tanah seluas 4.01 hektar.