KUCHING: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak optimis sasaran tiga juta pelancong mengunjungi negeri ini tahun ini mampu dicapai.
Menterinya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata keyakinan itu bersandarkan kepada prestasi pemulihan sektor pelancongan antarabangsa termasuk Sarawak yang cukup memberangsangkan ketika ini.
Beliau berkata, sehingga April tahun ini, Sarawak menerima 1.30 juta pelancong dengan peningkatan sebanyak 315.41 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
"Pada tahun 2022, Sarawak menerima 2.03 juta pelawat iaitu meningkat sebanyak 761.84 peratus berbanding tempoh sama pada 2021 dan menyumbang pendapatan sebanyak RM4.96 bilion.
"Melihat perkembangan positif ini, kementerian saya optimis untuk mencapai lebih tiga juta pelawat tahun ini dengan pendapatan diperoleh dijangka sebanyak RM7.25 bilion," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Abdul Karim berkata, walaupun trend pemulihan sektor pelancongan amat menggalak, beberapa cabaran akan terus dihadapi.
"Menurut Pertubuhan Pelancongan Dunia Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) situasi ekonomi global kekal sebagai faktor utama yang mempengaruhi keberkesanan pemulihan pelancongan antarabangsa pada 2023.
"Inflasi yang tinggi dan kenaikan harga minyak diterjemahkan kepada kos pengangkutan dan penginapan yang lebih tinggi dan kesan keadaan itu, pelancong dijangka mencari nilai untuk wang dan memilih perjalanan yang dekat," katanya.