Johor Bahru: Orang awam serta petugas yang berurusan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) yang menggunakan motosikal dibenar meletakkan kenderaan masing-masing di kawasan parkir di Bangunan JB Sentral (JBS) bermula esok.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, susulan perbincangan dilakukan kerajaan negeri dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Beliau berkata, untuk staf serta petugas BSI, ruang parkir disediakan adalah di anjung utara aras dua, manakala untuk orang awam di anjung selatan aras sama.
"Syukur Alhamdulillah, hasil perbincangan pihak kerajaan negeri Johor bersama KDN bermula esok kenderaan bermotosikal akan dibenarkan menggunakan tempat letak kenderaan di Bangunan JB Sentral.
"Perkembangan selanjutnya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang menjayakan inisiatif ini. Semoga dipermudahkan segala urusan," katanya melalui Twitter.
Terdahulu, Onn Hafiz turut berkata, biarpun keadaan laluan motosikal, kereta dan bas semakin lancar dan baik di KIK itu, beberapa perkara masih perlu diperbaiki dan ditambah baik demi keselesaan ramai.
Katanya, ia termasuk isu kekurangan tempat letak kereta dan motosikal bagi kegunaan pegawai dan orang awam.
"Saya yakin dengan kerjasama strategik dan berterusan antara semua pihak, isu kesesakan di kedua-dua laluan antara Johor dan Singapura dapat ditangani dengan lebih berkesan," katanya.
Kenyataan itu menyusul selepas sekali lagi turun padang meninjau keadaan laluan sempadan di KIK terbabit petang semalam.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Ir Mohamad Fazli Salleh.