Isnin, 17 April 2023 | 7:10am
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan sumbangan kepada orang kurang upaya (OKU) pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyerahan Sumbangan Ramadan Peringkat Tuaran di Masjid An-Nur Tuaran, semalam. NSTP/Johary Indan
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan sumbangan kepada orang kurang upaya (OKU) pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyerahan Sumbangan Ramadan Peringkat Tuaran di Masjid An-Nur Tuaran, semalam. NSTP/Johary Indan

Kedatangan pelabur luar, tempatan bantu pulihkan ekonomi Sabah

TUARAN: Kerajaan yakin ekonomi Sabah mampu dipulih dan diperhebatkan pertumbuhannya menerusi kemasukan pelaburan dalam sektor ekonomi bernilai berbilion ringgit tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata terbaru negeri ini menerima kemasukan pelaburan RM11.5 bilion membabitkan 89 projek yang akan menjana 4,566 peluang pekerjaan.

"Selain itu, projek keluli hijau bersepadu bernilai RM19.6 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) yang ditandatangani November tahun lalu juga bakal memberi pendapatan besar kepada kerajaan negeri.

"Sabah juga bakal memperoleh hasil pelaburan langsung asing dan domestik berjumlah RM33.4 bilion," katanya pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyerahan Sumbangan Ramadan peringkat daerah Tuaran di Masjid An-Nur Tuaran, semalam.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, ekonomi Sabah berupaya dipulih dan diperhebatkan lagi pertumbuhannya menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Katanya, langkah itu memastikan kemajuan yang holistik dapat dilaksanakan kerajaan demi pembangunan yang lebih inklusif, seimbang dan saksama.

"Saya yakin kerajaan ini berkemampuan melakukan perubahan, mengurangkan kadar pengangguran, membasmi kemiskinan dan sudah tentu memberi keselesaan hidup kepada seluruh rakyat, insya-Allah," katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan ekonomi negeri dan negara masih dalam proses pemulihan akibat pandemik tiga tahun lalu, Sabah sangat bernasib baik kerana masih mampu merekodkan pencapaian tertinggi dalam kutipan hasil negeri.

Pada majlis itu, Hajiji menyampaikan sumbangan untuk meringankan beban kepada 200 golongan memerlukan di daerah ini sempena Ramadan dan Aidilfitri.

Berita Harian X