Selasa, 4 April 2023 | 7:01pm

Amaran hujan lebat, ribut petir di 7 negeri

KUALA LUMPUR: Hujan lebat, ribut petir serta angin kencang dijangka berlaku di tujuh negeri termasuk Kedah membabitkan kawasan Kubang Pasu, Padang Terap, Baling, Kulim dan Bandar Baharu, sehingga jam 9 malam ini.

Jabatan Meteorologi (METMalaysia) dalam kenyataan di Facebook turut mengeluarkan amaran sama bagi Pulau Pinang membabitkan Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

Katanya, amaran hujan lebat, ribut petir serta angin kencang juga dijangka berlaku di Perak membabitkan kawasan Kerian dan Larut, Matang dan Selama.

Di Kelantan pula ia membabitkan kawasan Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang manakala Terengganu di kawasan Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.

Amaran hujan lebat, ribut petir serta angin kencang turut dikeluarkan di Pahang (Kuantan dan Pekan) selain Sabah membabitkan kawasan pedalaman (Nabawan) dan Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan).

"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mililiter (mm) per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," katanya.

Berita Harian X