KOTA KINABALU: Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) memperluaskan lagi perkhidmatan yang ditawarkan kepada masyarakat melalui pembukaan klinik pergigian yang terbuka kepada warga UMS dan orang awam.
Dikenali sebagai Klinik Pergigian Alawa, perkhidmatan yang dinaik taraf daripada unit pergigian Pusat Rawatan Warga (PRW) UMS, sebelum ini hanya untuk pelajar dan kakitangan universiti berkenaan.
Pengarah HUMS, Prof Dr Helen Benedict Lasimbang, berkata, dua unit bilik pergigian di PRW UMS sebelum ini dinaik taraf menjadi sebuah Klinik Pergigian menerusi Projek Pembangunan HUMS di bawah peruntukan Kementerian Pendidikan Tinggi.
Katanya, perkhidmatan pergigian yang mula diperkenalkan pada 2007 di PRW sebelum ini hanya menawarkan rawatan asas seperti cabutan gigi dan 'scaling' kepada pesakit dalam kalangan warga UMS kerana fasiliti yang kurang lengkap selain ruang yang sempit.
"Ruangan yang sempit pada ketika itu telah dinaik taraf ke ruangan yang lebih luas dan mempunyai fasiliti yang lebih canggih sebelum ini, dan sudah pun memadai untuk diperluas penggunaannya kepada orang awam.
"Salah satu faktor peluasan perkhidmatan ini adalah bagi mencapai dan mengangkat nilai tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan nilai kemanusiaan kerana semua golongan tidak mengira umur, bangsa, agama, kakitangan atau bukan kakitangan UMS berhak untuk menerima perkhidmatan kesihatan yang ada," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Klinik Pergigian Alawa HUMS yang disempurnakan Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, di sini, semalam.
Dr Helen berkata, pada masa ini hanya tiga bilik surgeri dilengkapkan dengan kemudahan kerusi pergigian yang selesa, dan akan ditambah dua unit lagi bagi melengkapkan kelima-lima bilik surgeri agar lebih ramai pesakit gigi dapat dirawat dalam satu masa.
"Pada masa sama, kita turut membangunkan makmal pergigian untuk mewujudkan perkhidmatan pembuatan gigi palsu (fleksibel atau acrylic), sports mouthguard atau nightguard, dan Removeable Orthodontic Appliance.
"Di samping itu, perkhidmatan X-Ray pergigian iaitu OPG, Lateral Cephalogram dan IOPA turut disediakan pada harga yang amat berpatutan," katanya.
Sementara itu, Kasim berharap dengan wujudnya Klinik Pergigian Alawa HUMS, objektif dan matlamat sebenar penubuhannya dapat dilaksanakan dengan baik.
"Kita mahu dengar maklum balas pesakit datang menceritakan perkhidmatan yang terbaik dengan harga yang sangat perpatutan di klinik ini.
"Harapan saya Klinik Pergigian Alawa dapat memberikan manfaat kepada semua pihak manakala kualiti perkhidmatan yang diberikan perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa.
"Begitu juga dengan kepelbagaian perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan dan disediakan di HUMS diharap mampu menampung keperluan dan tuntutan semasa," katanya.