Isnin, 20 March 2023 | 6:38pm
MAIDAM melulus dana RM1.4 juta untuk membina 18 unit kediaman asnaf di Kampung Paya Berenyut, Kemaman. - Foto MAIDAM
MAIDAM melulus dana RM1.4 juta untuk membina 18 unit kediaman asnaf di Kampung Paya Berenyut, Kemaman. - Foto MAIDAM

MAIDAM bina rumah asnaf

KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) membelanjakan kira-kira RM2.5 juta untuk membina kediaman asnaf di negeri ini tahun lalu.

Dana untuk pembinaan kediaman sendiri untuk asnaf hanya boleh dibina diatas tanah sendiri ataupun tanah kurnia kerajaan.

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail, berkata pembinaan rumah sendiri untuk golongan asnaf tidak boleh didirikan di atas tanah wakaf.

Katanya, tanah wakaf tidak boleh digunakan untuk kepentingan individu, termasuk mendirikan bangunan komersial dan bercucuk tanam.

"MAIDAM menggunakan keadah lain untuk membantu golongan asnaf bagi membina kediaman sendiri, termasuk meluluskan peruntukan sebanyak RM75,000 bagi setiap unit.

"Projek terbaru MAIDAM bagi membantu golongan asnaf memiliki kediaman sendiri adalah menyiapkan sebanyak 18 unit kediaman di Kampung Paya Berenyut di Kemaman membabitkan peruntukan keseluruhan kira-kira RM1.4 juta," katanya hari ini.

Mengulas lanjut, Shaikh Harun berkata, peruntukan untuk pembinaan kediaman sendiri untuk golongan asnaf hanya boleh diluluskan di atas tanah sendiri dan bukannya tanah wakaf.

Katanya, asnaf yang mempunyai tanah sendiri ataupun tanah kurniaan kerajaan serta ahli keluarga digalakkan membuat permohonan, bagi mendapatkan bantuan bina kediaman sendiri.

"Kita hanya meluluskan bantuan untuk pembinaan kediaman sendiri, asalkan tanah itu atas nama golongan asnaf," katanya.

Dalam perkembangan sama, Shaikh Harun berkata, MAIDAM juga menyediakan peruntukan RM2.3 juta untuk membayar sewa kediaman bagi asnaf tahun lalu.

Katanya, seramai 554 asnaf yang tidak memiliki kediaman dan tanah sendiri menerima bantuan sewa.

"Pembayaran sewa rumah kepada golongan asnaf dibuat terus kepada pemilik kediaman dan pembayaran dibuat sekaligus untuk tempoh setahun," katanya.

Berita Harian X