KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyediakan sumbangan Ihya Ramadan sebanyak RM5.3 juta kepada surau, masjid, institusi pendidikan dan agensi dalam negeri bagi mengadakan program sepanjang Ramadan kali ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman, berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM50,000 disumbangkan kepada Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 bagi mengimarahkan masjid berkenaan.
Beliau berkata, sebanyak 27 masjid daerah masing-masing menerima sebanyak RM10,000 dan 557 masjid kariah layak mendapat bantuan RM6,000.
Katanya, sebanyak 102 surau yang mendapat kebenaran mengadakan solat Jumaat masing-masing menerima RM6,000 dan 300 surau kariah masing-masing menerima RM2,000.
Sebanyak 100 agensi dalam negeri dan sekolah masing-masing mendapat RM1,000.
"Tiga masjid institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) di negeri ini iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Unipsas) masing-masing menerima RM100,000.
"MUIP berharap bantuan kewangan ini dapat digunakan sepenuhnya oleh jawatankuasa surau dan masjid untuk mengadakan pelbagai aktiviti keagamaan selain majlis berbuka puasa, sahur dan moreh," katanya, di sini, hari ini.
Beliau berkata, bantuan Ihya Ramadan yang disediakan MUIP kali ini berdasarkan kepada permohonan daripada jawatankuasa surau dan masjid yang kebanyakannya setiap tahun menerima sumbangan berkenaan.
Asmadi berkata, program yang diadakan oleh surau dan masjid sepanjang Ramadan diharap dapat menarik lebih ramai lagi masyarakat setempat untuk datang ke surau dan masjid.
Katanya, beberapa surau di perkampungan Orang Asli turut diberikan bantuan kewangan untuk mereka mengadakan program sepanjang Ramadan kali ini.