Jumaat, 17 March 2023 | 11:23pm
Jabatan Perikanan Pulau Pinang mengesahkan penemuan 110 ekor anak penyu lipas di tepian pantai sekitar Hotel Angsana, Teluk Bahang, hari ini. - Foto ihsan Jabatan Perikanan Pulau Pinang
Jabatan Perikanan Pulau Pinang mengesahkan penemuan 110 ekor anak penyu lipas di tepian pantai sekitar Hotel Angsana, Teluk Bahang, hari ini. - Foto ihsan Jabatan Perikanan Pulau Pinang

110 ekor anak penyu lipas ditemui di Teluk Bahang

GEORGETOWN: Jabatan Perikanan Pulau Pinang hari ini mengesahkan spesies penyu lipas atau nama saintifiknya Lepidochelys olivecia kembali bertelur di pantai negeri ini selepas kali terakhir dikesan berbuat demikian empat tahun lalu.

Pengarahnya, Yazeereen A Bakar, berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam yang menjumpai anak-anak penyu lipas yang baru menetas di sekitar pantai Hotel Angsana Teluk Bahang, dekat sini, semalam.

"Pasukan Cawangan Konservasi dan Perlindungan Sumber telah ke lokasi kejadian dan mendapati terdapat 110 ekor anak penyu lipas telah menetas di kawasan berkenaan.

"Anak-anak penyu lipas berkenaan kemudian dibawa ke Pusat Konservasi Penyu Pantai Kerachut untuk pemuliharaan dan penjagaan lanjut sebelum dilepaskan ke laut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Yazeereen berkata, Pulau Pinang adalah antara negeri yang terkenal dengan kehadiran penyu lipas selain Pahang dan Terengganu.

Bagaimanapun, katanya, trend pendaratan penyu semakin berkurangan disebabkan faktor ancaman semula jadi serta manusia dan kali terakhir penyu lipas bertelur di pantai sekitar negeri ini ialah pada 2019.

Penyu lipas adalah spesies penyu kedua terkecil dan ia mampu membesar sehingga 6.0 hingga 6.5 sentimeter (sm) serta mencapai beratsekitar 35 hingga 50 kilogram (kg) dengan badannya berwarna gelap sama ada hijau zaitun atau perang manakala bahagian bawahnya berwarna putih.

Berita Harian X