KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi (METMalaysia) meramalkan hujan lebat berserta ribut petir dan angin kencang di Selangor membabitkan kawasan Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak dan Petaling serta Kuala Lumpur sehingga jam 8 malam ini.
METMalaysia dalam kenyataan di Facebook turut mengeluarkan amaran sama bagi Kedah (Kulim) dan Pulau Pinang membabitkan Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.
"Di Johor pula membabitkan kawasan Muar, Batu Pahat dan Pontian.
"Selain itu, hujan lebat, ribut petir berserta angin kencang juga diramalkan di Sarawak membabitkan Sarikei (Pakan dan Julau), Sibu (Sibu dan Selangau) dan Mukah," katanya.
Amaran terbabit turut dikeluarkan bagi Sabah membabitkan pantai barat (Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran) serta Tawau (Tawau dan Lahad Datu).
Dalam pada itu, Ketua Pengarah METMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah dalam satu kenyataan berkata berdasarkan analisis model cuaca, keadaan cuaca di Semenanjung dijangka mengalami kurang hujan.
Katanya, keadaan ini berpotensi mengakibatkan suhu lebih tinggi berbanding kebiasaan, khususnya di negeri-negeri utara Semenanjung sehingga Ahad ini.
"Namun, ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang dijangka masih boleh berlaku di barat Sabah dan Sarawak pada sebelah petang hingga ke malam.
"Orang awam dinasihatkan sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial rasmi METMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih," katanya.