SHAH ALAM: Sekitar 60,000 penduduk Saujana Utama, Sungai Buloh dekat sini memohon pihak berkuasa memantau aktiviti lori simen yang membawa muatan berlebihan sehingga berlaku tumpahan ke atas jalan seterusnya membahayakan pengguna laluan berkenaan.
Malah difahamkan, sudah berlaku beberapa kemalangan membabitkan penunggang motosikal yang terjatuh selepas melalui jalan licin akibat tumpahan simen dari lori.
Pengerusi Majlis Permuafakatan Penduduk Saujana Utama (MPPSU), Khairul Annuar Jalaluddin, berkata pihaknya mula mengesan aktiviti lori simen itu lebih enam bulan lalu bagaimanapun, mereka tidak pasti dari mana serta ke
mana hala tuju lori berkenaan.
"Saya tidak pasti dari mana lori-lori ini. Kadang-kadang kami lihat ia menghala masuk ke Jalan Saujana Perdana seterusnya di persimpangan Universiti Teknologi MARA (UiTM) menghala ke Puncak Alam dan waktu kemuncak operasi mereka adalah pada lewat malam antara jam 10 malam hingga 12 tengah malam.
"Apabila berlaku tumpahan simen, kami bersama pasukan Bomba Sukarela terpaksa melakukan pembersihan segera kerana bimbang jika dibiarkan akan mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya terutamanya jika simen itu sudah keras dan menyebabkan permukaan jalan tidak rata," katanya yang mewakili 38 pengerusi taman seluruh Saujana Utama ketika dihubungi, baru-baru ini.
Beliau berkata, aduan juga sudah dihantar kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) melalui ahli majlis kawasan dan juga kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) Paya Jaras mengenai perkara itu bagaimanapun, lori simen berkenaan dilihat berterusan melalui kawasan terbabit.
Katanya, pihak MPKS sebelum ini turut memaklumkan penduduk bahawa mereka sudah membuat aduan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tindakan pemantuan terhadap aktiviti berkenaan.
"Kami berharap pihak JPJ dapat buat pemantauan dan juga mengambil tindakan kepada pemandu degil ini yang membawa muatan berlebihan dan membuat onar selain tidak mengendahkan simen ini berterabur atas jalan raya sehingga ia keras dan menyebabkan permukaan jalan rosak.
"Penduduk juga rasa tidak selamat apabila memandu di atas jalan yang sebegitu.
"Kami penduduk Saujana Utama tidak menghalang pembangunan cuma berharap pihak bertanggungjawab mematuhi peraturan di jalan raya demi keselamatan masyarakat di sini. Syarikat berkenaan perlu bertanggungjawab untuk memastikan pemandu bawa keluar lori simen dalam keadaan bersih dan tidak membuang sisa simen di atas jalan raya di sekitar Saujana Utama khasnya," katanya.