KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) akan menyalurkan bantuan Ramadan kepada 22,023 fakir dan miskin kira-kira RM11.8 juta tahun ini.
Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail, berkata pengagihan bantuan bagi membantu meringankan beban golongan fakir dan miskin akan dilakukan secara berperingkat, bermula hari ini.
Katanya, bantuan wang tunai akan disalurkan tertakluk kepada jumlah isi rumah.
"Isi rumah seorang akan menerima bantuan sebanyak RM300, jumlah isi rumah yang mempunyai tanggungan antara dua dan tiga orang akan menerima RM500, manakala tanggungan empat orang ke atas akan menerima RM700," katanya kepada media, di sini, hari ini.
Shaikh Harun berkata, MAIDAM menyasarkan pengagihan bantuan zakat kepada semua fakir dan miskin selesai sebelum sambutan Ramadan yang dijangka Khamis depan.
Katanya, sebahagian pengagihan bantuan zakat kepada golongan itu akan dilakukan secara bersemuka di semua daerah di negeri ini.
Mengulas bantuan Ramadan untuk golongan mualaf bagi meringankan beban membuat persiapan Ramadan, Shaikh Harun berkata, seramai 1,190 golongan itu layak menerima bantuan.
Katanya, golongan mualaf yang mempunyai seorang tanggungan akan menerima RM400, dua dan tiga tanggungan RM600 manakala empat tanggungan ke atas RM800.
"Kita jangka membelanjakan sebanyak RM666,000 untuk membantu meringankan bebanan golongan mualaf di seluruh negeri.
"Bantuan kepada golongan itu akan disalurkan selepas mendapat kelulusan daripada ahli majlis MAIDAM, tetapi kita akan selesaikan sebelum sambutan Ramadan," katanya.