KOTA KINABALU: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan membantu membawa keluar tiga daerah termiskin di Sabah dari kategori daerah miskin tegar, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata perkara itu telah dibincangkannya bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada mesyuarat penyelarasan di sini, hari ini.
Katanya, Ketua Menteri menyarankan kerajaan Persekutuan membantu daerah Pitas, Kota Marudu dan Tongod menerusi projek desa termasuk penyediaan prasarana dan utiliti.
"Kami di KKDW pasti akan melaksanakannya melalui perbincangan yang akan diadakan dengan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan.
"Ini bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk memfokuskan agar tiga daerah ini keluar dari kelompok daerah miskin tegar atau antara daerah yang termiskin di Sabah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan KKDW Bersama Kerajaan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Selain itu, Ahmad Zahid memaklumkan, pihaknya bersama pimpinan kerajaan negeri turut membincangkan cadangan mewujudkan estet padi sebagai langkah menjamin keselamatan bekalan makanan utama di negeri ini.
"Ia bertujuan agar bekalan makanan utama di Sabah ini dapat terus dikeluarkan bagi tujuan penggunaan tempatan atau domestik. Pada masa sama, mungkin dalam keadaan tertentu boleh menjadi stok simpanan makanan.
"Maka, biarlah kita dengan Ketua Menteri tentukan di mana lokasinya (estet padi), berapa keluaran kawasannya kerana FELCRA Berhad mempunyai modal untuk pelaksanaan estet tanaman padi ini.
"Ini sebagaimana yang dilaksanakan di Seberang Perak di mana penduduk kampung akan terlibat sebagai pemegang saham dalam estet itu dengan memperolehi dividen.
"Keduanya, mereka juga terlibat dalam guna tenaga sebagai pekerja di estet tanaman padi itu. Ketiganya, kawasan perumahan juga akan disediakan oleh FELCRA untuk peneroka ini," katanya.
Ahmad Zahid juga memberitahu, terdapat beberapa isu yang dibincang dan diselesaikan bersama kerajaan negeri dengan apa yang dirancang diharap dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat untuk rakyat Sabah.
"Perincian mengenai beberapa cadangan yang dibincangkan akan diumumkan Hajiji kelak kerana ia perlu dibincangkan dalam Kabinet negeri untuk kelulusan," katanya.
Pada sidang media sama, Hajiji menzahirkan penghargaan terhadap KKDW yang diterajui Ahmad Zahid kerana banyak perkara dapat diselesaikan pada mesyuarat hari ini.