KOTA KINABALU: Sabah masih bergantung kepada bekalan beras import bagi memenuhi keperluan penduduknya berikutan tahap sara diri (SSL) pengeluaran beras tempatan yang hanya mampu menampung 22.8 peratus keperluan negeri ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin, berkata kadar SSL itu berdasarkan kiraan pada 2021 dengan anggaran populasi 3.4 juta penduduk dan penggunaan perkapita beras sebanyak 73.04 kilogram seorang setahun.
Katanya, berdasarkan laporan Penyiasatan Pengeluaran Padi Negeri Sabah, pengeluaran beras bagi padi sawah di negeri ini pada 2021 sebanyak 54,524 tan metrik dengan 29.01 peratus daripadanya dihasilkan dalam kawasan jelapang padi, manakala baki 70.54 peratus dari kawasan lain.
Beliau berkata, usaha meningkatkan kadar SSL pengeluaran beras bagi negeri Sabah sehingga 75 peratus menjelang 2025 akan terus dilaksanakan melalui pelbagai pendekatan yang diyakini mampu merealisasikan sasaran berkenaan.
"Kolaborasi strategik di antara kementerian dengan syarikat peneraju akan menjadi titik permulaan kepada perubahan landskap industri padi dan beras tempatan di Sabah seterusnya berupaya membantu kerajaan mencapai sasaran 75 peratus tahap sara diri beras negara menjelang 2025.
"Ini sejajar dengan apa yang digariskan di bawah Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12)," katanya dalam satu kenyataan sempena tinjauannya ke kawasan penanaman padi di Kota Belud, semalam.
Beliau mengadakan lawatan kerja ke Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud, selain lawatan ke Gudang Simpanan Stokpail Beras Negara di Sabah.
Sementara itu, Foong Hin berkata, daerah Kota Belud mencatatkan purata hasil padi sebanyak 3.36 tan metrik pada musim utama 2021/2022 dan sebanyak 3.82 tan metrik pada luar musim 2021.
Katanya, Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang dilaksanakan di kawasan IADA Kota Belud pula berjaya meningkatkan purata hasil padi daripada 2.6 tan metrik kepada 4.15 tan metrik sehektar.
"Program yang membabitkan seramai 40 pesawah ini adalah di bawah seliaan BERNAS sebagai syarikat peneraju.
"Program SMART SBB di Skim Jawi-Jawi, Kota Belud mencapai keseluruhan kawasan seluas 126.78 hektar pada 2023 dengan peningkatan sebanyak 153.6 peratus berbanding seluas 50 hektar pada 2022.
"Pulangan bersih hasil tuaian sawah sekitar RM2,000 semusim sebelum ini juga meningkat kepada RM6,000 semusim," katanya.
Dalam hal berkaitan, Foong Hin yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu, berkata lawatannya ke Kota Belud membuka ruang kerjasama strategik di antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI).
Katanya, ia khususnya kerjasama dalam usaha membawa masuk varieti baharu benih padi MR 297 dan MRQ 74 dari Semenanjung.
"Kemasukan dua varieti benih popular ini selain bertujuan untuk peningkatan tahap sara diri negeri Sabah, ia juga akan meningkatkan pendapatan pesawah tempatan," katanya.