Nazri Abu Bakar
MELAKA: Dalam usaha membantu pasaran produk pertanian tempatan, sebuah hotel di sini bekerjasama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, menawarkan produk nanas MD2 yang ditanam di kampus institusi pengajian tinggi berkenaan.
Pengarah Urusan Hotel LaCrista Melaka, Datuk Rosthman Ibrahim, berkata hasil nanas ditanam di UITM kampus Jasin dibawa masuk ke hotel berkenaan untuk hidangan berbuka sepanjang Ramadan, bermula 24 Mac sehingga 21 April.
Katanya, kerjasama berkenaan dalam usaha mempromosi hasil tani tempatan yang dihidangkan menerusi pelbagai menu berasaskan nanas MD2 seperti nasi goreng nanas Thai, ikan tiga rasa, ikan masam manis, kari nanas serta pelbagai jenis pembuka selera dan manisan berasaskan buah berkenaan.
"Untuk Ramadan akan datang, kami sudah tempah lebih 1,000 kilogram nanas MD2 daripada UiTM Melaka dan kerjasama ini bakal diteruskan. Usaha ini juga bertujuan memberi sokongan kepada Projek Penjanaan Pendapatan UiTM Cawangan Melaka kampus Jasin.
"Kita membantu meningkatkan permintaan serta mempromosi hasil tanaman terbabit dengan menyajikan pelbagai makanan berasaskan nanas MD2 yang enak serta menarik," katanya.
Sementara itu, Penolong Rektor UiTM Kampus Jasin, Ahmad Khairuman Md Hasim, berkata pihaknya menyambut baik minat hotel terbabit dalam mempromosi dan memasarkan produk nanas yang diusahakan kampus terbabit.
Katanya, buat masa ini, terdapat 1.6 hektar kawasan di kampus UiTM Jasin ditanam nanas MD2, yang bakal disusuli penanaman di kawasan seluas empat hektar lagi dalam fasa kedua dengan bantuan teknikal Fakulti Perladangan dan Agroteknologi UiTM Jasin.
"Pembabitan Hotel LaCrista membantu penjanaan pendapatan kampus. Kami amat mengalu-alukan kerjasama pintar ini kerana kampus Jasin sememangnya merancang menjadi hab dan pusat jualan nanas.
"Usaha ini akan turut membantu pengusaha-pengusaha ladang nanas dalam meningkatkan penjualan buah dan sulur nenas. Kerjasama ini akan menjadi titik permulaan peranan kampus Jasin dalam memainkan peranan sebagai hab dan pusat jualan nanas," katanya.