SEREMBAN: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menafikan tohmahan dan fitnah yang disebar melalui media sosial mengenai salah guna wang zakat di Negeri Sembilan.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir, berkata susulan daripada tohmahan dan fitnah yang disebarkan pada 2019, pihak MAINS sudah membuat beberapa laporan polis terhadap pemilik media sosial terbabit.
"Pihak MAINS turut memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Jabatan Audit Negara bagi menjalankan siasatan penuh dan pengauditan terperinci terhadap semua dakwaan itu.
"Namun pada 2023, dakwaan sama diulang siar pihak tidak bertanggungjawab bagi memenuhi kepentingan peribadi," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, MAINS sebagai agensi badan berkanun yang dinaungi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan sentiasa memastikan pengurusannya mematuhi konsep ketelusan, akauntabiliti serta berintegriti tinggi dalam semua aspek tatakelolanya.
"MAINS juga menafikan sebarang tohmahan dan fitnah terhadap kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengenai pembabitan beliau dalam isu berkaitan.
"Malah pihak kerajaan negeri sentiasa berganding bahu bersama MAINS memastikan semua perkara yang menyentuh masyarakat Islam di negeri ini sentiasa terbela dan disantuni sebaik-baiknya," katanya.
Sehubungan itu, katanya, pihak MAINS menasihati masyarakat sentiasa Tabayyun (menyemak asas kebenaran) sebelum menyebarkannya.
"Ia bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tidak baik berlaku seperti fitnah, menipu dan memburukkan seseorang yang lain berlandaskan hawa nafsu dan sifat kebencian," katanya.
Tegas beliau, MAINS sekali lagi membuat laporan polis dan berharap pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang menimbulkan persepsi negatif dan kegusaran awam.