Sabtu, 4 Februari 2023 | 7:18pm

MAIDAM salur RM8 juta bantu mualaf

KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) membelanjakan kira-kira RM8 juta untuk membantu golongan mualaf di seluruh negeri tahun lalu.

Yang Dipertua, Datuk Shaikh Harun Ismail, berkata bantuan paling tinggi disalurkan kepada golongan itu adalah elaun kehadiran kelas agama asas untuk 599 penerima, membabitkan peruntukan berjumlah RM3.6 juta.

Katanya, bantuan itu disalurkan bagi memudahkan golongan mualaf mendalami ilmu agama terutama membabitkan mereka yang baru memeluk Islam.

"Kita juga menyalurkan bantuan pembayaran elaun guru mualaf membabitkan peruntukan RM1.6 juta," katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Ramah Mesra dan Dialog Harmoni antara Budaya anjuran bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) negeri, di sini.

Yang turut hadir, Pengarah YADIM negeri, Nasrul Hadi Saidin, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dan Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) negeri, Datin Norhana Ng Abdullah.

Shaikh Harun berkata, MAIDAM tidak pernah meminggirkan golongan mualaf di negeri ini apabila setiap tahun menyalurkan bantuan bagi membantu meringankan bebanan saudara baharu.

Katanya, bantuan sempena Ramadan juga disalurkan kepada 1,043 penerima membabitkan peruntukan sebanyak RM490,600 tahun lalu.

"Seramai 177 mualaf di negeri ini turut menerima bantuan kewangan bulanan membabitkan peruntukan sebanyak RM636,340. Kita juga menyalurkan bantuan saguhati galakan saudara baharu kepada 25 penerima membabitkan peruntukan sebanyak RM16,750," katanya.

Shaikh Harun berkata, seramai 12 mualaf menerima bantuan perkahwinan sebanyak RM44,000, manakala 156 yang miskin menerima bantuan sara hidup membabitkan peruntukan sebanyak RM455,000 setahun.

"MAIDAM akan terus membantu golongan mualaf di negeri ini dan kita berharap mereka terus mendalami ilmu agama yang dianjurkan MACMA dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan," katanya.

Shaikh Harun (kiri) dan Nasrul Hadi merasmikan Majlis Ramah Mesra dan Dialog Harmoni Antara Budaya di Kuala Terengganu. - NSTP/BAHAROM BAKAR.
Shaikh Harun (kiri) dan Nasrul Hadi merasmikan Majlis Ramah Mesra dan Dialog Harmoni Antara Budaya di Kuala Terengganu. - NSTP/BAHAROM BAKAR.
Berita Harian X