SEREMBAN: Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mengarahkan agensi berkaitan, terutama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) memantau risiko pencemaran sungai di Negeri Sembilan, khususnya sumber air berhampiran sempadan negeri, termasuk Selangor.
"Ada sungai di Selangor yang bermula di Negeri Sembilan dan perkara yang selalu diberikan perhatian oleh Menteri Besar Selangor adalah berkaitan isu pencemaran air. Saya sudah maklumkan perkara ini kepada JAS, JPS dan Badan Kawal Selia Air (BKSA) supaya pantau dan ambil tindakan sewajarnya.
"Perkara ini membabitkan kepentingan masyarakat dan penduduk di Selangor, terutama di kawasan sempadan," kata Aminuddin kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di Wisma Negeri, hari ini.
Beberapa kejadian pencemaran air yang menjejaskan pengguna di negeri ni dan Selangor dipercayai berpunca dari Negeri Sembilan seperti insiden Oktober 2020 membabitkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi, Selangor dihenti tugas ekoran pencemaran Sungai Semenyih.
Pencemaran berkenaan dipercayai berpunca daripada aktiviti pembersihan ladang angsa di Sungai Pajam, Negeri Sembilan serta dari kawasan perindustrian Nilai 3. Masalah itu turut menjadi punca pencemaran Sungai Batang Benar yang menjadi sumber air mentah Sungai Semenyih.
Kedua-dua sungai yang terletak di sempadan Selangor itu telah mengalami pencemaran bau sehingga menjejaskan kualiti air Sungai Semenyih.
Aminuddin berkata, insiden terbaharu adalah pada 24 Disember lalu disebabkan tumpahan pati minyak wangi akibat kemalangan sebuah lori membawa muatan bahan terbabit di Lebuhraya Elite berdekatan Bandar Serenia, Nilai.
"Insiden itu turut menjejaskan operasi LRA sekali gus menjejaskan kepentingan penduduk termasuk di Selangor. Dalam hal ini, saya juga berharap agar masyarakat sentiasa menjaga kebersihan sungai kerana ia penting dan menjadi sumber air minuman kita," katanya.