PARITt: Seramai 50 kanak-kanak asnaf dari sekitar daerah Perak Tengah menyertai Program Sunathon anjuran Salam Relief bersama Universiti Cyberjaya di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Addin-2 (MTQ-2), di sini.
Antara yang menarik tumpuan adalah pasangan kembar berusia sembilan tahun, Mohd Adib Akmal Mohd Saad dan adiknya, Mohd Asyraf.
Bapa mereka, Mohd Saad Mokhtar, 50, berkata pada mulanya kedua-dua anaknya itu tidak mahu turut serta dalam acara khatan beramai-ramai terbabit.
"Namun setelah dapat tahu kawan sekolah mereka juga akan berkhatan hari ini, barulah mereka bersetuju. Terima kasih penganjur, acara ni sangat membantu keluarga kami dari segi kewangan memandang kos berkhatan kini bukannya murah," kata pekerja kilang di Titi Gantung ini.
Bagi Mohd Adib Akmal dan Mohd Asyraf, mereka mengakui sedikit gementar ketika menunggu giliran untuk berkhatan.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Salam Relief, Halim Mohamad Ridzuan, 52, berkata penganjuran acara khatan beramai-ramai itu bertujuan membantu keluarga yang kurang berkemampuan.
"Kami hanya membiayai kit peralatan khatan dan menyediakan lokasi, manakala doktor dan penuntut Kolej Sains Perubatan Universiti Cyberjaya (CUCMS) selaku sukarelawan. Anak-anak yang menyertai program ini berusia antara 3 hingga 12 tahun.
"Ini kali kedua Salam Relief mengadakan Program Sunathon di kawasan ini. Insya-Allah, kita akan terus laksanakan acara sebegini pada tahun-tahun akan datang," katanya.
Sebelum acara khatan bermula, kumpulan kanak-kanak itu diceriakan dengan mandi beramai-ramai dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit.
Mereka dikhatankan oleh empat doktor yang diketuai Pakar Bius Hospital Annur, Dr Mohamed Ikram Mohamed Salleh, selain dibantu 36 penuntut CUCMS sepanjang prosedur berkenaan.