IPOH: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak gamat seketika apabila berlaku pertikaian membabitkan beberapa wakil rakyat kerajaan terhadap Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria berhubung beberapa isu berkaitan kaum yang dibangkitkan.
Pertikaian mula tercetus apabila Razman (PAS-Gunung Semanggol) menuntut kerajaan menyatakan pendirian mengenai Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC) yang mana Perak antara negeri paling banyak mengeluarkan pelajar lulusan itu.
Pertikaian berlaku ketika Razman membahaskan Usul Menjunjung Kasih atas Penzahiran Titah Diraja Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi persidangan DUN Perak.
Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kemudian memohon mencelah, antaranya ADUN Bercham, Ong Boon Piow (DAP) yang mendakwa Razman cuba memburukkan pelajar dan guru sekolah persendirian Cina (SUWA).
Razman juga menuntut pendirian kerajaan negeri mengenai cadangan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan yang pernah diutarakan EXVO kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH) yang turut dianggap menyentuh sensitiviti kaum.
Selepas beberapa ketika, ADUN Pantai Remis, Wong May Ing kemudian bangun mencelah dengan mendakwa Razman lebih banyak membangkitkan isu perkauman sepanjang sesi perbahasan bertempoh 45 minit yang diperuntukkan kepadanya.
"Sejak mula membahas sampai sekarang, saya dengar pembahasan hanya dalam (isu) perkauman apabila Gunung Semanggol (Razman) membangkitkan isu pilihan raya kerajaan tempatan yang dikata bakal mewujudkan perkauman, kemudian UEC, serta isu hak milik kekal kampung baru Cina.
"Jadi adakah ia (yang dibangkitkan) itu bercanggah dengan apa yang dibangkitkan YB (Yang Berhormat) di sebelah sana (pembangkang/ Perikatan Nasional) bersikap terbuka (dalam menerima kepelbagaian kaum)," kata May Ing.
Selepas itu, ketika Razman ingin memohon masa tambahan untuk meneruskan perbahasannya yang dijangka tamat dalam masa lima minit, ADUN Tronoh, Steven Tiw (DAP) secara spontan mencelah dengan menyatakan tidak perlu tambah masa jika yang hendak dibangkitkan adalah isu kaum semata-mata.
Razman sebelum itu mencadangkan kerajaan negeri dan semua ahli Dewan supaya mengadakan program atau kempen integrasi nasional atau perpaduan kaum untuk merapatkan semula hubungan antara kaum dalam negeri ini.
Beliau mendakwa, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu memberi gambaran tidak sihat dan boleh membentuk ketidakstabilan politik dalam negeri dan negara apabila menyaksikan gabungan parti politik membentuk satu polarisasi kaum yang jelas.
Katanya, rakyat negara ini sudah dipisahkan kepada dua blok iaitu blok Melayu Bumiputra dan blok bukan Melayu.
"PRU15 menyaksikan hampir 70 peratus Melayu Bumiputra dikumpulkan dalam satu blok berlainan yang mana jurang perbezaan antara blok ini menjadi lebih besar dan boleh mengancam kestabilan politik serta keharmonian antara kaum dalam negara
"Fenomena itu tidak boleh disalahkan kepada sebelah pihak saja melalui pelbagai label seperti ekstremis kaum dan Taliban, dengan merujuk kepada kenyataan seorang pemimpin veteran DAP yang melihat polarisasi kaum ini sebagai satu ancaman dan perlu disekat.
"Pemimpin veteran itu mahu menyekat yang beliau istilahkan sebagai Gelombang Hijau untuk tujuan memastikan Malaysia tidak menjadi negara Islam sepenuhnya dalam dua kali lagi pilihan raya umum (PRU16 dan PRU17)," katanya.