Isnin, 19 Disember 2022 | 1:01pm
Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang di Kampung Batu 24, ditutup kepada semua lalu lintas. - Foto NSTP/BAHAROM BAKAR
Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang di Kampung Batu 24, ditutup kepada semua lalu lintas. - Foto NSTP/BAHAROM BAKAR

29 jalan di Terengganu ditutup

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 29 jalan termasuk laluan utama Kuala Terengganu-Kota Bahru, ditutup kepada semua lalu lintas, selepas ditenggelami air sejak semalam.

Jabatan Kerja Raya (JKR) menyatakan, tujuh jalan, termasuk laluan utama ke Kota Bharu, dekat Kampung Bukit Yong, ditutup krana ditenggelami air di antara 0.30 meter (m) dan 1.80m.

Laluan lain di daerah Besut yang ditutup ialah Jalan Jertih/Keruak di Kampung Cherang Melilin, Jalan Jertih/Keruak di Kampung Jerubun, Jalan Kampung Raja/Kampung Lampu, Jalan Alor Lintah/Kampung Pinang/Kampung Mok Ka, Jalan Pelagat/Lata Tembakan di Kampung Padang dan jalan bawah Jambatan Jertih.

Jalan berkenaan dinaiki air di antara 0.80m dan 1.80m membabitkan jarak antara 70m hingga 1,000m.

Di Hulu Terengganu, jumlah jalan yang ditutup kepada semua lalu lintas ialah enam laluan membabitkan Jalan Batu 24-Pengkalan Ajal di Kampung Pasir Pelata, Jalan Kampung Pueh/Tapah/Payang Kayu/Baung/Kuala Ping di Kampung Felcra Bukit Kepah, Jalan Bukit Perah/Kampung Jak/Kuala Kejir di Kampung Jak/Kejir, Jalan Simpang Gaung/Sungai Tong di Kampung Kuala Ping, Jalan Bukit Diman/Tersat di Kampung Pengkalan Ajal dan di Jalan Sungai Baru/Langkap di Kampung Langkap.

Enam laluan itu ditenggelami air di antara 0.76m dan 1.50m sejauh kira-kira 700m hingga 800m.

Turut ditutup kepada semua kenderaan selepas dinaiki air antara 1.25m hingga 0.8m pada jarak di antara 50m dan 1,000m di daerah Kemaman ialah lapan laluan.

Semua laluan utama termasuk di Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2) di daerah berkenaan masih boleh dilalui.

Jalan yang ditutup kepada semua lalu lintas di daerah Dungun sebanyak lapan laluan, selepas dinaiki air antara 0.80m dan 1.0m.

Laluan berkenaan dinaiki air di antara jarak sejauh kira-kira 100m hingga 300m.

Berita Harian X