Rabu, 14 Disember 2022 | 8:29pm

Cemas rumah pengasuh di Kampung Kemat hampir dinaiki air

KUALA BERANG: Seorang bapa bergegas pulang untuk mengambil bayinya yang berusia empat bulan di Kampung Kemat, dari Marang, selepas dimaklumkan kawasan rumah pengasuhnya hampir dinaiki air.

Kakitangan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Mohamad Razif Abu Hasan, 35, berkata sebaik mendapat panggilan pengasuh anaknya Mohamad Zikry, kira-kira jam 4 petang, dia tanpa berfikir panjang membuat keputusan untuk pulang, demi keselamatan anaknya.

Katanya, sejurus mendapat panggilan itu, hatinya tidak tenang kerana teringatkan anak dan dia terus mengambil keputusan untuk bergerak ke Kampung Kemat.

"Sebaik sampai kira-kira jam 5.30 petang, air semakin naik di sebelah rumah pengasuh. Memang air dilihat sangat laju, tidak mustahil paras air akan sampai ke rumah pengasuh anak saya.

"Alhamdulillah, semuanya selamat dan pengalaman melihat air naik mendadak amat menakutkan," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Kemat, di sini, hari ini.

Athirah Izati Abdullah, 26, yang baru dua bulan mengasuh Mohamad Zikry berkata, dia mula risau keselamatan bayi berkenaan apabila paras air Sungai Kemat, mula melimpah dengan laju sejak tengah hari tadi berikutan hujan lebat sejak jam 8 pagi.

Katanya, dia mengambil keputusan untuk memaklumkan kepada bapa Zikry, supaya segera datang mengambilnya bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Sementara itu, sepasang warga emas terpaksa menumpang rumah jirannya berikutan rumah mereka ditenggelami air hampir satu meter.

Mek Ngah Seman, 67, berkata dia dan suaminya Sulong Abdullah, 76, segera keluar daripada rumahnya apabila air Sungai Kemat, mula memasuki rumahnya pada jam 1 tengah hari berikutan hujan lebat.

"Makcik tidak mahu mengambil risiko, tambahan lagi suami ada masalah sakit tua. Kalau lambat pindah, takut peristiwa awal tahun baru-baru ini berulang apabila rumah kami tenggelam sehingga paras bumbung.

"Syukur semuanya selamat. Saya akan tinggal buat sementara di PPS bagi mengelak kejadian buruk walaupun paras air dilihat semakin surut," katanya.

Mohamad Razif Abu Hasan, 35, mendukung anaknya selepas mengambilnya daripada pengasuh berikutan kawasan Kampung Kemat, dinaiki air. NSTP/Nazdy Harun
Mohamad Razif Abu Hasan, 35, mendukung anaknya selepas mengambilnya daripada pengasuh berikutan kawasan Kampung Kemat, dinaiki air. NSTP/Nazdy Harun
Berita Harian X