KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu membelanjakan lebih RM1 juta setahun bagi membantu pesakit daripada golongan asnaf mendapatkan rawatan dialisis secara percuma di seluruh negeri ini.
Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail, berkata daripada jumlah itu ia mampu memberi manfaat kepada 408 pesakit golongan asnaf mendapatkan rawatan dialisis.
Beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama Pusat Hemodialisis Wakaf Terengganu dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (BKRM) dijangka mampu memberi manfaat kepada pesakit buah pinggang di negeri ini.
"Selain peruntukan disediakan kepada pesakit buah pinggang mendapatkan rawatan dialisis, MAIDAM juga memperuntukkan lebih RM3 juta untuk bantuan perubatan membabitkan 1,420 pesakit asnaf.
"Kita harap pembukaan pusat dialisis baharu ini mampu membantu lebih ramai pesakit buah pinggang mendapatkan rawatan dialisis secara percuma terutama golongan asnaf," katanya.
Beliau berkata demikian selepas perasmian pembukaan Pusat Hemodialisis Wakaf Terengganu di Kampung Baroh Che Miah, Jalan Sultan Omar di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif BKRM, Dr Mohammad Hanis Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan.
Shaikh Harun berkata, setakat ini sebanyak empat pusat hemodialisis wakaf iaitu di Besut; Dungun; Maras, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.
Beliau berkata, pihaknya juga bercadang mahu membina pusat hemodialisis wakaf di Kerteh, Kemaman yang membabitkan kos RM1 juta pada tahun depan.
"Kita harap pusat hemodialisis yang diwujudkan bukan sahaja dapat membantu golongan asnaf dan tidak berkemampuan, tetapi memberi manfaat kepada semua golongan di seluruh negeri ini.
"Pesakit golongan asnaf diberikan rawatan secara percuma manakala golongan berkemampuan akan dikenakan sedikit bayaran dan pusat baharu dibuka di Kuala Terengganu mampu menampung seramai 18 pesakit buah pinggang sehari," katanya.