Khamis, 8 Disember 2022 | 10:49am
Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi. Foto ihsan MEDKOM
Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi. Foto ihsan MEDKOM

'ADUN Johor perlu buat penyesuaian politik segera'

ISKANDAR PUTERI: Semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor diingatkan sentiasa berhemah, selain perlu melakukan penyesuaian politik, selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata langkah itu berikutan keputusan PRU15 yang mengejutkan dan di luar jangkaan yang memerlukan ADUN melakukan penyesuaian segera.

Katanya, ini termasuk sentiasa menjaga batas pertuturan dan mengelak menyentuh sentimen perkauman serta agama.

"Terlebih dulu saya mengucapkan tahniah kepada pemenang kerusi DUN Tioman dan Parlimen Padang Serai pada PRU15 yang tamat semalam.

"Susulan itu, saya meminta semua ADUN melakukan penyesuaian politik segera susulan keputusan PRU15 sudah selesai, kita perlu bergerak ke hadapan dan mengelak sebarang konflik berdasarkan kaum dan agama," katanya sebelum DUN mula bersidang, hari ini.

Perikatan Nasional (PN) merampas kerusi Parlimen Padang Serai daripada Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 selepas calonnya, Datuk Azman Nasrudin menang dengan majoriti 16,260 undi, mengalahkan saingan terdekat, Dr Mohamad Sofee Razak daripada PH.

Azman memperoleh 51,637 undi, manakala Mohamad Sofee mendapat 35,377 undi.

Bagi DUN Tioman, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Hussain pula mengekalkan kerusi untuk penggal keempat pada PRU15 dengan mendapat 8,080 undi pada pertembungan lima penjuru.

Calon PN, Nor Idayu Hashim mendapat 7,507 undi.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lalu, BN menawan 40 daripada 56 kerusi DUN Johor, PH menang 11 kerusi DUN, diikuti PN (3); manakala PKR dan MUDA masing-masing satu kerusi.

Kerajaan Johor sebelum ini adalah kerajaan campuran disokong BERSATU yang memiliki majoriti tipis dengan majoriti satu kerusi, iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang.

Ini berikutan kematian ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga mantan Menteri Besar, pada 21 Disember lalu.

Berita Harian X