AYER KEROH: Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dimasyhur sebagai Canselor pertama Universiti Melaka (UNIMEL).
Pemasyhuran Mohd Ali yang juga pengasas kepada penubuhan universiti berkenaan, sejajar dengan pembentukan UNIMEL sebagai universiti awam pada 10 Februari lalu bagi menggantikan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM).
Istiadat pemasyhuran itu disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menerusi penyerahan surat lantikan dan watikah kepada Mohd Ali pada hari pertama Istiadat Konvokesyen UNIMEL ke-24 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari dan Naib Canselor UNIMEL, Prof Dr Abdul Razak Ibrahim.
Pemasyhuran itu selaras dengan kesinambungan universiti lain yang menyaksikan Mohd Ali selaku Canselor diberi kuasa mempengerusikan konvokesyen, melaksanakan apa-apa kewajipan seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Universiti Melaka mengikut Seksyen 30 Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996.
Terdahulu, Istiadat Konvokesyen UNIMEL ke-24 menyaksikan 3,045 graduan menerima diploma dan ijazah masing-masing bagi sesi pembelajaran untuk tempoh tiga tahun iaitu 2020, 2021 dan 2022.
Ia membabitkan tiga graduan ijazah doktor falsafah (PhD), 18 graduan Ijazah sarjana, 616 ijazah sarjana muda dan 2,408 graduan diploma.
Dalam ucapannya, Sulaiman yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMEL, berkata pusat pengajian itu bakal menjadi sebuah lagi institusi pendidikan yang penting dalam membangun serta memperlengkapkan modal insan pada peringkat tertinggi.
Beliau berkata, graduan yang dilahirkan daripada universiti penuh milik kerajaan negeri itu, mampu menjadi aset kepada pembangunan negara pada masa depan.
Beliau turut menzahirkan keyakinan UNIMEL berpotensi memainkan peranan utama secara dinamik dan proaktif untuk membangun dan melebarluaskan sayapnya ke arena tempatan, serantau dan global.
"Saya percaya, UNIMEL mampu menawarkan kepakaran ahli akademik kepada dunia dan boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan lebih mantap pada masa depan.
"Kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian khusus terhadap usaha memperkasa bidang pendidikan dan meletakkannya sebagai agenda utama untuk menjadikan Melaka hab pendidikan tersohor di negara ini.
"Kerajaan negeri menyedari pelaburan dalam bidang pendidikan adalah prasyarat yang signifikan bagi mewujudkan sebuah negara makmur dan pembangunan rakyat sejahtera," katanya.